Kemelesetan ekonomi yang sedang melanda dunia telah menimbulkan pelbagai reaksi terutamanya di kalangan para usahawan. Pada saat ini, usahawan sebagai pemimpin organisasi harus bijak menerajui bahtera perniagaan dalam menangani taufan krisis ekonomi. Salah satu aspek yang boleh dihalusi pada saat ini adalah kemuafakatan di dalam organisasi. Sebagaimana peribahasa, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Kemuafakatan boleh memberi kekuatan dalaman kepada usahawan menangani saat sukar.
Kemuafakatan inilah yang diamalkan oleh Kumpulan Johor Corporation (JCorp). Tan Sri Dato’ Muhammad Ali Haji Hashim, Ketua Eksekutif, Kumpulan Johor Corporation (JCorp) ketika ditemui memberitahu, bagi menyemai jiwa organisasi, JCorp mengamalkan sistem sama rata dan keadilan untuk melahirkan kemuafakatan.“Di JCorp, misalnya kami bersenam bersama dan memakai pakaian seragam yang sama. Malah, setiap tahun, pengiktirafan diberikan kepada anggota pekerja yang berhak. “Fokus kami ialah membina budaya positif. Mesej mesti jelas kerana ia mempengaruhi jiwa dan seterusnya amalan kerja,” tegasnya. Tambah beliau, “Perkara-perkara yang orang lain anggap remeh sebenarnya adalah intipati kepada spirit atau ‘jiwa’ organisasi.
Kemuafakatan inilah yang diamalkan oleh Kumpulan Johor Corporation (JCorp). Tan Sri Dato’ Muhammad Ali Haji Hashim, Ketua Eksekutif, Kumpulan Johor Corporation (JCorp) ketika ditemui memberitahu, bagi menyemai jiwa organisasi, JCorp mengamalkan sistem sama rata dan keadilan untuk melahirkan kemuafakatan.“Di JCorp, misalnya kami bersenam bersama dan memakai pakaian seragam yang sama. Malah, setiap tahun, pengiktirafan diberikan kepada anggota pekerja yang berhak. “Fokus kami ialah membina budaya positif. Mesej mesti jelas kerana ia mempengaruhi jiwa dan seterusnya amalan kerja,” tegasnya. Tambah beliau, “Perkara-perkara yang orang lain anggap remeh sebenarnya adalah intipati kepada spirit atau ‘jiwa’ organisasi.
Maka, di JCorp, tidak menggunakan istilah kakitangan. Perkataan kakitangan adalah hasil daripada ideologi penjajah. Kami ganti dengan perkataan anggota pekerja. Apabila ada ‘anggota’ untuk bekerja termasuklah ‘kepala’ barulah ada ‘jiwa’,” katanya. Menurut beliau lagi kegoyahan di dalam organisasi berlaku apabila wujudnya ‘budaya sate’ hasil daripada rasa ketidakadilan anggota pekerja di dalam organisasi. “Sepertimana ‘perniagaan sate’, ada yang jadi tukang cucuk, tukang kipas dan ada yang jadi tukang bakar di dalam organisasi.Ini budaya negatif dan boleh menyebabkan se-sebuah organisasi itu goyah,” katanya. Hasil daripada jiwa organisasi yang utuh ini, JCorp berjaya membangunkan lebih 250 anak syarikat di mana sembilan daripadanya telah disenaraikan di Bursa Malaysia termasuklah sebuah di Bursa Saham Port Moresby dan London Stock Exchange. Nama-nama seperti Kulim (Malaysia) Berhad (Kulim), KPJ Healthcare Bhd (KPJ), Sindora Berhad (Sindora) dan KFC Holdings (M) Bhd (KFC) adalah antara anak syarikat JCorp yang telah membina nama bukan sahaja di dalam negara malah merentasi sempadan antarabangsa. Sesuai dengan falsafah korporat iaitu JCorp Satu Rumpun Enterprais, kekuatan JCorp juga terletak pada kreativiti pemimpin-pemimpinnya dan model bisnes yang dinamik. Skim Intrapreneur dan Waqaf Korporat adalah antara inovasi perniagaan yang meletakkan JCorp sebagai sebuah organisasi korporat Islam dan antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang banyak menyumbang kepada ekonomi negara.
Pada tahun 1999, JCorp memperkenalkan satu program pewujudan usahawan yang dinamakan Skim Intrapreneur. Skim yang pada mulanya merupakan satu strategi kreatif menangani krisis 1997 telah memberi peluang kepada anggota pekerja JCorp untuk berkongsi pemilikan ekuiti. “Berniaga itu sendiri sangat kompleks kerana seseorang usahawan itu perlu tahu setiap aspek dalam perniagaannya. Di JCorp, kami sudah mempunyai sistem sedia ada yang membolehkan sebuah syarikat baru dalam Kumpulan bertapak dan seterusnya berdikari. Kelebihan Skim Intrapreneur ini juga adalah pada konsep perkongsian pulangan dan risiko antara JCorp dan syarikat yang dibangunkan,” katanya. Menurut Tan Sri Dato’ Muhammad Ali lagi, skim ini bermula dengan hanya dua syarikat berpotensi. Kini, ia telah berkembang kepada 69 syarikat dalam pelbagai sektor dengan perolehan keseluruhan bahagian bisnes Intrapreneur pada akhir tahun 2008 bernilai lebih RM500 juta. Malah, konsep Intrapreneur berbeza daripada perkataan entrepreneur yang sering digunakan. Ia merangkumi prinsip pembentukan dan pembangunan intrapreneur berdasarkan pengemblengan harta dan sumber kekayaan Johor Corporation.“Perkataan entrepreneur hanya membayangkan usahawan berniaga untuk keuntungan semata-mata. Sebaliknya, huruf ‘i’ pada perkataan intrapreneur memberi makna yang lebih luas seperti iman, ikhlas, ikhtiar dan ihsan. Kita mahu intrapreneur mencatat kejayaan peribadi sebagai pengurus usahawan dan pada masa yang sama memakmurkan ekonomi negara. “Konsep skim ini bukan sahaja mengubah mindset bekerja makan gaji ke mindset keusahawanan, malah ini membentuk keupayaan anggota pekerja untuk berdikari. Mereka juga perlu mempunyai jati diri seorang usahawan seperti mempunyai sikap daya saing, berani ambil risiko, yakin dan kerja kuat,” jelas Tan Sri Dato’ Muhammad Ali. Menariknya, skim ini turut melahirkan rantaian sektor-sektor bisnes dari syarikat Intrapreneur yang berdaya maju. Misalnya, KPJ, anak syarikat JCorp yang menyediakan khidmat rawatan dan perubatan pakar, kini turut memiliki dan menguruskan pusat latihan kejururawatan, PNC International College of Nursing and Health Science. Malah, semenjak pengambilalihan KFC, JCorp bukan hanya terlibat dalam operasi restoran makanan segera. Mereka turut terlibat dalam operasi pemprosesan ternakan, peruncitan, khidmat kontrak perladangan dan bisnes sokongan yang lain. “Senario ini bukan sahaja melahirkan kluster bisnes, malah memberi lebih banyak peluang pekerjaan. Di JCorp, kami mempunyai lebih daripada 54 000 anggota pekerja. Ini menunjukkan konsep Skim Intrapreneur viable dalam melahirkan usahawan dan sekaligus memakmurkan ekonomi negara,” katanya. Namun, di sebalik kejayaan syarikat-syarikat di dalam Kumpulan JCorp, Tan Sri Dato’ Muhammad Ali secara merendah diri melihat kekayaan sebagai milik Tuhan dan perlu dikongsi dengan masyarakat. Justeru, bagi membina organisasi korporat Islam multi nasional, JCorp memperkenalkan konsep Waqaf Korporat menerusi Kumpulan Waqaf An-Nur Berhad (KWANB). “Waqaf Korporat merupakan konsep wakaf pertama seumpamanya di dunia. Bagi saya, kekuatan negara terletak pada kekuatan ekonomi dan kemakmuran negara.
Hari ini, berjihad bukan hanya di medan perang. Sesiapa sahaja dalam bidang usa-hanya perlu berjihad. Dalam Islam, harta kekayaan itu amanah dan hendaklah kita memberi wakaf kepada yang berhak. Oleh itu, jihad bisnes adalah jihad yang perlu dilaksanakan oleh setiap usahawan,” tegasnya. Bermula pada tahun 2006, JCorp telah mewakafkan saham bernilai RM200 juta dalam tiga anak syarikat tersenarainya (Kulim, KPJ dan JLand) kepada KWANB. KWANB memperuntukkan 25 peratus untuk kerja-kerja fisabilillah meliputi rumah anak yatim, bantuan pelajaran, bantuan kewangan dan program-program tanggungjawab sosial korporat. Pada tahun 2007, seramai 21 peniaga kecil telah mendapat manfaat dari Waqaf Dana Niaga. “Fasiliti yang dibina dari Waqaf Korporat ini adalah untuk segenap lapisan masyarakat. Setakat ini kita mempunyai sembilan rangkaian Klinik Waqaf An-Nur termasuk sebuah hospital yang sehingga kini telah memberi khidmat kepada 387 000 pesakit yang mana 21 000 daripadanya adalah daripada bukan Islam,” jelasnya.
Keprihatinan Kumpulan JCorp terhadap kebajikan masyarakat turut meliputi mangsa-mangsa yang ditimpa musibah. Melalui KWANB, JCorp telah menubuhkan sebuah pasukan yang dikenali sebagai Briged Amal Waqaf. Ia terdiri daripada lima kumpulan asas yang dianggotai oleh syarikat di dalam Kumpulan JCorp. Misalnya, Kulim mengawal selia logistik, KFC, makanan, KPJ, perubatan, Sindora Berhad, pembersihan dan pemeliharaan dan Johor Land Berhad, penyelamat dan sukarelawan. Sementelah membina usahawan dari dalam organisasi, Tan Sri Dato’ Muhammad Ali juga percaya pembudayaan keusahawanan seharusnya bermula dari peringkat awal lagi. Justeru, pada tahun 1992, Gerakan BISTARI ditubuhkan. Ia bermula di peringkat sekolah menengah yang dinamakan Tunas BISTARI dan diikuti oleh Siswa BISTARI di peringkat universiti. “Kami telah bekerjasama dengan UiTM Segamat dan UiTM Shah Alam untuk program Siswa BISTARI ini. Pelajar-pelajar ini didedahkan dengan runding cara penubuhan syarikat dan setiap tahun akan diadakan Anugerah Kecemerlangan BISTARI. Malah, bagi memastikan mesej keusahawanan ini jelas, beliau juga melihat potensi keberkesanan papan permainan. Namun, pemilihan jenis dan konsep permainan perlu sesuai dengan landasan Islam. Terbaru, JCorp telah memperkenalkan papan permainan yang dinamakan Catur BISTARI. “Catur BISTARI mempunyai tiga konsep pembelajaran iaitu Laluan Makan Gaji, Laluan Tijarah dan Laluan Jihad Bisnes. Generasi muda harus dijelaskan mengenai aspek pelaburan, asas niaga yang betul dan cara berkongsi kekayaan dengan masyarakat,” katanya lagi.Lebih menarik konsep Laluan Makan Gaji, Laluan Tijarah dan Laluan Jihad Ekonomi adalah sama dengan pelaksanaan konsep Skim Intrapreneur dan Waqaf Korporat yang diamalkan di dalam Kumpulan JCorp itu sendiri. Memetik tulisan Tan Sri Dato’ Muhammad Ali di dalam bukunya yang bertajuk Bisnes Satu Cabang Jihad: Pembudayaan Bisnes Untuk Survival, beliau menyatakan: “... usahawan yang berjaya tidak semestinya menjadi pencipta, penemu teknologi atau pengasas sistem pengeluaran. Paling penting adalah bagaimana si usahawan melihat peluang keemasan dan mengekploitasikan dengan kegigihan luar biasa. Mereka menyumbang sesuatu yang bermakna dan sangat besar impaknya terhadap pertumbuhan ekonomi...” Justeru, Tan Sri Dato’ Muhammad Ali yakin kekuatan jiwa organisasi hadir dari penerapan dan amalan nilai-nilai Islam itu sendiri. “Nilai-nilai Islam itu mempunyai banyak kekuatan. Apatah lagi pada masa-masa mencabar. Pada waktu ini, keseperpaduan melalui jihad bisnes mampu membina kebulatan dan keberkatan.
Saya harap musibah yang berlaku di Palestin memberi kita iktibar. Kekuatan pertahanan hadir dari kekuatan ekonomi sesebuah negara. Kebijaksanaan membina kekuatan di waktu sukar ini bakal meletakkan syarikat dan negara di garis hadapan apabila krisis ekonomi ini reda kelak. Justeru, saya menyeru para usahawan untuk melaksanakan jihad bisnes,” katanya. Melalui Jihad Bisnes, JCorp yakin bahawa umat Islam dan Melayu yang terpinggir dan dikesampingkan akan dapat kembali bangkit untuk menguasai ekonomi. Sumber: Majalah Usahawan Sukses
No comments:
Post a Comment