Pages

Thursday, February 28, 2013

Kek Lemon Sha


Assalamualaikum dan selamat pagi Khamis semua... dalam sibuk sibuk pun sempat lagi k.gee mencelah di dapor maya gee-hut ini... hehehe... kemaruk berblogging kata hubby... walaupun tiada menu spesel sekadar menu biasa biasa saja... layan tekak orang kampung...! ops...ada ke orang kampung makan kek pepagi begini... ? hehehe...


K.gee memang suka buat kek yang simple-simple begini... kalau yang ada krim dan deko-deko segala bagai tu awal-awal lagi k.gee angkat tangan... tobat tak pandai... Lagipun kek begini sesuai dengan selera tekak k.gee dan anak-anak pun suka... hb berlebih-lebih lagi... lemon memang favourite dia sebab suka minum air lemon madu... jadi selalu lah ada stok lemon di rumah... 



Resipi kek lemon ini k.gee selongkar dari dapor novelis manja yang rajin memasak tu... siapa lagi... Shariah Abdullah laaa... Terima kasih Sha... sedap kek lemon ni walaupun resipi campak-campak jer... cuma k.gee ubahsuai sikit... tak ada aprikot glaze k.gee tukar kepada beberapa keping asam manis... k.gee patah-pathkan dan tabur atas kek tu... 


KEK LEMON
Resipi : Shahriah Abdullah

250 gm mentega *suhu bilik

220 gm gula kastor
4 biji telur
1 sudu kecil esen vanilla
250 gm tepung kek *blue key + 1/2 sudu teh garam + 1 sudu teh baking powder ayak bersama

1 biji lemon... perah jusnya dan parut kulitnya..
k.gee tambah 1 sudu kecil pewarna kuning lemon


CARA :

Putarkan mentega, gula, telur dan esen vanilla selama 5 minit *gula hancur

Masukkan jus lemon, kulit lemon dan tepung dan putar selama 5 minit

Setelah itu masukkan ke dalam acuan kek.

K.gee taburkan beberapa keping asam manis di atasnya. 

Bakar dengan suhu 150'C selama 45-50 minit

angkat dan sejukkan terlebih dahulu!!



2,3 hari ini hujan dan cuaca agak mendung... jadi k.gee buka studio kecil di luar rumah untuk shooting... hehehe...



Memang sedap kek yang masam-masam manis ini,
kan Sha...?


Wednesday, February 27, 2013

Masak lemak telur


Kadang-kadang bila ketandusan idea nak masak apa... capai ajelah apa yang ada di dapur... nasib baik ada telur boleh juga dibuat gulai lemak kuning.... sesekali makan menu simple begini sedap juga kan... teringat pula k.gee pada kisah Bundo dan telur ayam kampungnya... capai punya capai tercapai telur tembelang... haish... nakal la Bundo tu...  kalau nak tahu apa kisahnya boleh tekan TELUR yer... lucu sangat...



TELUR MASAK LEMAK KUNING


Bahan-bahan

4 biji telur ayam (kalau ada telur itik lagi sedap)
1 mangkuk santan cair
1 cawan santan pekat
*4-5 biji cili padi
*2 biji bawang merah
*1 inci kunyit hidup
1 batang serai - ketuk sedikit
garam secukupnya
1 keping asam gelugor
kalau ada belimbing buluh pun boleh letak

Cara-cara

Kisar atau tumbuk semua bahan bahan bertanda (*)
Masukkan ke dalam periuk bersama santan cair, garam, asam gelugor dan serai yang diketuk.
Jerangkan di atas api yang perlahan sambil dikacau sentiasa supaya tidak pecah minyak
Bila santan hampir mengelegak pecahkan telur sebiji sebiji sambil dikacau perlahan-lahan.
Tambahkan santan pekat dan masak hingga telur mengeras.  Kalau suka boleh masukan belimbing dan daun kunyit. Kebetulan ada belen ubi keladi, k.gee kukus dan masukkan sekali.  Sedia dihidangkan bersama nasi panas...
 

Jom pekena telur...

Tuesday, February 26, 2013

Chocolate chips cookies


Assalamualaikum dan salam bahagia semua... pagi ini kita layan cookies sajalah yer... tak larat nak celoteh panjang lebar... tuan rumah kurang sihat... kepala toink ! toink ..!


Cookies ini sudah beberapa kali k.gee buat... memang sedap dan sesuai dimakan bila-bila masa... anak-anak menggelarnya biskut famos amos... resipinya k.gee angkut dari dapor Hana's Family... terima kasih Hana... memang best cookie ini...!!



CHOC CHIPS COOKIES

Resipi : hanameemories

Bahan-bahan

1 cawan gula- hana tak buh!1 cawan padat gula perang * - tapi hana lbhkan sedikit gula perang
1 cawan mentega
1 cawan minyak
1 telor
1 sb susu segar
4 cawan tepung gandum
1 sk garam *
1 sk cream of tartar- hana gune emplex
1 sk baking soda
½ cawan walnut cincang - hana gune badam cincang
2 cawan semisweet chocolate chips
1 sk vanilla extract

Cara-cara

Pukul gula, mentega, minyak, telor, susu and vanilla hingga sebati.
Masukkan bahan2 kering, walnut dan chocolate chips
Adunan nampak lembik, sudukan satu sudu kecil ke atas dulang pembakar, tak perlu di gris.
Bakar pada suhu 350 ‘F (175’ C) dlm 10-15 minit (bergantung pada jenis oven)

Nota * Rasa agak manis, boleh kurangkan gula perang kepada ½ atau ¾ cawan. Jika mentega dah masin kurangkan garam kepada ½ sk.

Cookies ini agak peroi, jika suka keras sedikit, lebihkan tepung ikut kesukaan.
Walnut boleh diganti dengan kacang jenis lain

 

Memang marvelous...!! cubalah...


Monday, February 25, 2013

Nasi minyak ayam tomato


Haha... pepagi lagi k.gee sudah tayang menu bina badan... di setengah tempat mungkin agak pelik kalau nasi minyak dijadikan menu sarapan pagi tapi menu nasi minyak dan macam-macam nasi lagi memang menu harian penduduk di Kuantan ini... tidak perlu tunggu ada kenduri kahwin untuk makan nasi minyak... masuk saja ke mana-mana restoran dan kedai makan sudah pasti ada juadah ini untuk sarapan pagi... Lauknya pun ada pelbagai jenis... ada ayam masak merah, masak kari, ayam goreng, ayam berempah dan aneka bagai lagi... pendek kata tepuk dada tanya selera... pilihan di hujung jari anda...!! hehe...


Nasi minyak ini resipi simple saje... layan selera anak-anak masa mereka balik bercuti itu hari... k.gee gandingkan dengan ayam masak tomato yang pedas pedas manis... Anak-anak suka menu begini... biasanya kalau masak untuk sarapan k.gee lebihkan sikit supaya boleh makan hingga tengahari... boleh relaks sikit... taklah asyik terperok ceruk dapor je kan...

NASI MINYAK

Bahan2nya

500-600 gm beras basmathi - basuhdan toskan
160gm minyak sapi
50gm halia - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
rempah penumis 3 sekawan
1 sudu sunquick
sedikit pewarna kuning
sedikit garam
sehelai daun pandan

cara2 memasak

1. Panaskan minyak sapi, masukkan rempah penumis dan bahan2 yg dihiris.  Tumis sehingga naik baunya.

2. Masukkan beras dan daun pandan.  Gaul sebati.

3. Tambahkan air, garam dan sunquick dan biar sehingga mendidih. 
4. Setelah masak masukkan sedikit pewarna kuning dan biarkan sehingga nasi masak.

5. Siap untuk dihidangkan bersama lauk kegemaran.

AYAM TOMATO


Bahan-bahan

1/2 ekor ayam
sedikit garam kunyit

Bahan-bahan kisar
4-5 biji cili padi (kalau tak suka pedas boleh kurangkan)
1 cm halia
2 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
1 biji tomato-potong dadu
1/2 cawan sos tomato

Bahan Hias

1/2 biji bawang besar- potong bulat
kacang hijau secukupnya
Bawang goreng

Cara-cara:

1.Bersih ayam. Potong kecil-kecil dan gaul dengan garam kunyit. Goreng sehingga 2/3 masak
2.Tumis bahan kisar kecuali sos tomato dan tomato sehingga naik bau. Kemudian barulah dimasukkan sos dan buah tomato. Tumis sehingga naik minyak.
3.Masukkan ayam. Biar kuah jadi pekat. Sekali sekala hendaklah digaul balikkan.
4.Bila kuah dah pekat bolehlah masuk bahan-bahan hias.
Biar 1-2 minit. Kemudian padamkan api.



ACAR TIMUN

1 biji timun ( potong memanjang)
1 batang karot (potong memanjang)
1 labu bawang besar ( hiris nipis)
1 biji cili merah( dihiris nipis)
2-3 sudu besar gula
1 sudu teh garam
4-5 sudu besar cuka makan
Caranya :
Satukan semua bahan. Sesuaikan rasa kemudian simpan dalam peti sejuk selama 1/2 jam atau lebih sebelum menghidang.




selamat menjamu selera....



Friday, February 22, 2013

Agar-agar jagung


Salam Jumaat semua... stress betul hari ini bila tak dapat akses ke blogspot... ingatkan blog k.gee sudah kena serangan virus malware... panik dibuatnya...! mujur ada kakak angkat di Trengganu tu bagitahu yg blog k.gee masih selamat.... huh! legaaaaa.....


Menu hari ini simple saja... menu untuk basahkan tekak... sekarang ini sudah masuk fasa musim panas jadi sesuai lah kita dinginkan tekak dengan agar-agar atau puding kegemaran... Bila tengok puding peach dari Dapor CT Delima pagi tadi... alahai... tak segandingan agar-agar comot k.gee ni... heeee macam langit dengan bumi jaraknya.... tapi..... nak jugak tayang sebab post kali ini siap pakai model cilik lagi.... tengoklah tu...?

Agar-agar jagung ini k.gee gunakan jagung manis dalam tin belen buat kuih bakar jagung tempohari... k.gee tambahkan juga kerak roti sebab ada banyak kerak roti dalam simpanan... anak-anak makan roti buang keraknya... k.gee simpan dan buat kuih... sayang nak membazir, kan!? 



AGAR-AGAR JAGUNG

Bahan -bahan

1 paket agar-agar tali
2 cawan santan kelapa
1 cawan gula- ikut suka manis masing-masing
secubit garam
5 cawan air
1 tin jagung manis - blenderkan
sedikit pewarna kuning
1 mangkuk kerak roti - potong kecil-kecil, rendam dengan air sekejap dan toskan.

Cara membuatnya

Masukkan air ke dalam periuk bersama-sama agar-agar dan masak hingga agar-agar cair sepenuhnya.

Tambah gula, sedikit garam dan pewarna kuning.

Masukkan pula santan, kerak roti tadi dan jagung manis.  Jika suka boleh tambahkan telur.  Kacau sebentar dan biarkan mendidih.

Angkat dan tuangkan ke dalam acuan.

Sejukkan dan simpan dalam peti sejuk sebelum dihidangkan.


jemput minum secawan kopi-o panas...


Thursday, February 21, 2013

Kuih getas


Kuih getas atau getas-getas ini kuih orang lama.... emak k.gee memang sukakan kuih ini.  Dulu k.gee pernah buat kuih ini dan tiap kali digoreng pasti kuihnya meletup dan pecah.... terpaksa bersilat depan kuali... sehingga kekadang tu naik menyampah buat kuih ini... dan satu lagi kelemahan k.gee time nak menyira kuih ini... Tapi selepas dapat talian hayat dari dapur Bdaria k.gee sudah tahu tips dan petua supaya tidak meletup dan bagaimana nak menyira gula... terima kasih Bdaria...



Kuih ini sangat mudah menyediakannya dan ringkas saja... nak buat sarapan pagi pun boleh minum petang pun boleh... cuma kalau yang bergigi palsu tu kena lah berhati-hati sikit sebab kuih ini liat sikit... bimbang tercabut pulak gigi tu nanti... hehehe


KUIH GETAS-GETAS
Resipi : Bdaria

Bahan-bahannya:-

250gm tepung pulut
20gm tepung gandum
150gm kelapa parut putih/kelapa parut muda
130-150ml air (jangan terus tuang semua, tuang sikit-sikit dulu)
sedikit garam
Minyak untuk mengoreng


Cara-caranya:-

Satukan kedua-dua tepung dan kemudian masukkan kelapa parut serta garam. Tuang air sedikit demi sedikit sehingga menjadi doh. Pastikan ia tidak terlalu lembik sangat.

Biarkan sebentar selama 10 minit

Buatkan bulat-bulat kecil dan kemudian leperkan sama ada ia berbentuk lonjong atau leper. Mak saya akan canai atas dulang dan kemudian potong segiempat. pastikan anda sapukan sedikit minyak ditangan anda apabila hendak memegang doh dan menyapu minyak atas dulang apabila hendak meletak doh supaya tidak melekat.

Panaskan minyak dengan api sederhana.

Apabila agak panas, goreng kuih sehingga kekuningan

Pastikan anda sentiasa balik-balikkan kuih supaya tepung tidak mengelembung dan pecah

Bila dah kekuningan, angkat dan toskan dengan tisu masakan.

Ini pula adalah cara untuk menyira gula. Bagi yang baru pertama kali belajar untuk menyira gula ia adalah sesuatu yang agak sukar. Mungkin bagi anda yang sudah mahir........ianya adalah mudah. Saya pernah berjanji dengan salah seorang pembaca blog ini untuk menunjukkan cara-cara menyira gula. Saya harap penyampaian saya nie anda akan faham.....saya buat yang termudah yang boleh saya fikirkan kerana saya juga tak pandai bab-bab menyira gula nie. Masa belajar dengan mak dulu nak tau dia kata apa.....cuba hang tengok buih-buih tu kalau banyak buih tu makna nya pekat dahlah tu....cuba hang angkat gula tu kalau dia turun bertali maknanya pekatlah tu.....puas lah saya tengok buih gula....sama je pada mata saya tak dak beza pun....saya cuba titiskan air gula tengok, dia tak bertalipun turun...... masa bila nak turun bertali?......confuse.....tanya banyak kali karang kena marah sebab kacau dia buat kerja. Menang susah nak belajar dengan orang tua......jadi saya ajar nie atas kefahaman saya sendiri so jika anda ada cara atau kaedah lain boleh kongsi bersama. Kepada adik-adik yang baru belajar......belajar dengan cara yang mudah dulu ok.

Menyira gula kuih

Bahan-bahannya:-

1/2 cawan gula pasir
1/2 cawan air

Cara-caranya:-

Masukkan gula dan air kedalam kuali yang agak besar. Masak dengan api sederhana......api sederhana ye bukan api kecil atau api yang kuat.

Jika anda perhatikan buih-buih tu mula-mula ia akan memenuhi bahagian tepi dan kemudian ia akan merebak kebahagian tengah.

Biarkan ia selama 7 minit.

Apabila sudah 7 minit, cuba titiskan setitik air gula atas piring dan kemudian guna jari telunjuk sentuh air gula tadi dan temukan jari telunjuk dengan ibu jari. Lekat-lekatkan beberapa kali.....ia dikira sudah 'menjadi' bila anda rasa ia melekit-melekat dijari dan akan menghasilkan ketulan-ketulan halus kat jari. Kalau tak.....biarkan satu minit lagi. Ketika saya buat ia dalam 9 minit baru saya tutup api. So pastikan pada sukatan diatas, tempoh masak air gula supaya ia pekat adalah dalam 8-10 minit. Jika lebih 10 minit anda akan dapat gula hangus.

Terus matikan api dapur ye.

Kemudian baru masukkan kuih-kuih yang anda hendak sira kedalam kuali dan kacau sampai bunga-bunga gula keluar.



Selamat bersarapan semua...


Wednesday, February 20, 2013

Berbudi pada tanah...


Selamat tengahari semua... Lewat sikit bersiaran hari ini sebab banyak tugasan penting perlu dibereskan dahulu... Al kisah hari ini k.gee nak cerita pasal kebun sayur... memang tidak rugi berbudi pada tanah... dapat hasil dapat pahala dan dapat makan sayur mayur yang segar bugar... memang berbaloi-baloi!! betul kan K.Nor ? Syukur alhamdulillah... dapat makan kacang panjang buah sulung dari kebun sayur tepi rumah hasil titik peluh encik hb... macam-macam pokok sayur hb tanam... esok lusa boleh tuai terung, bendir dan peria pulak... pokok markisa pon ada tapi belum berbuah... hehehe jimat belanja...


Masak lemak kacang panjang memang sedap dimakan bersama nasi hangat... nai sejuk pon sodap kot?  arwah nenek dulu pesan kalau masak kacang panjang jangan gunakan pisau... patahkan saja anggaran 1 inci sebab katanya rasa kacang akan lebih manis... petua orang tua-tua ini kekadang ada kebenarannya... tak rugi kita cuba kan... Marilah k.gee kongsikan resipi kacang panjang k.gee di sini...


KACANG PANJANG MASAK LEMAK UDANG

Bahan bahan:

5 urat kacang panjang - patahkan anggaran 1 inci
10 ekor udang hidup
5 biji cili padi
1 inci kunyit hidup
2 ulas bawang merah
1 mangkuk santan
Garam secukupnya

Tumbuk kunyit hidup, cili padi dan bawang merah hingga lumat.  kak gee tumbuk gunakan lesung batu untuk mengekalkan keaslian rasa sayur yang baru dipetik.  Masukkan bahan-bahan ini ke dalam periuk dan curahkan santan.  Masak dengan api perlahan sambil terus dikacau. Bila kuah mendidih masukkan kacang panjang tadi dan udang.  Akhir sekali masukkan sedikit garam. Bolehlah diangkat dan dihidangkan.


kacang panjang cili padi
anak udang dalam belanga
kalau belum makan tengahari
mari kita bismillah bersama-sama...

Tuesday, February 19, 2013

Red velvet lapis cheese


Kek red velvet lapis cheese ini k.gee buat semasa cuti CNY itu hari... Memang sudah agak lama tak mencis tetiba teringin pulak... Lagipun k.gee tengok ramai para blogger masak yang buat kek choc lapis cheese kukus... nampak mengancam dan menggoda kan!? 


Bila tengok ramai yang buat kek lapis kukus cheese, k.gee pon dapat idea untuk melapis cheese juga rvc ini... tapi nak mengukus tak berapa rajin jadi bakar saja di dalam oven... Resipi k.gee angkut dari dapur Zue tetapi dengan sedikit olahan mengikut citarasa dari k.gee... Izinkan k.gee panjang panjangkan resipinya di sini pulak yer.. terima kasih Zue.




RED VELVET LAPIS CHEESE
Resipi : Zue Tarabozu2

Bahan-bahan

125g + 1 sudu besar tepung serba guna (all purpose flour) @ tepung kek/tepung halus
1/2 sudu kecil garam
60g mentega - suhu bilik
110g gula halus
1 biji telur saiz A - suhu bilik
1/2 sudu kecil essen vanilla
120ml susu segar - suhu bilik
1/2 sudu besar jus lemon @ 1 sudu besar sunquick oren
2 sudu kecil pewarna merah - 1 sudu warna kurang merah
kurang sikit dari 1/2 sudu kecil coklat emulco
1/2 sudu kecil cuka
1/2 sudu kecil baking powder

Lapisan Cheese

200g cream cheese - suhu bilik
1 biji telur saiz B@A - suhu bilik
60g gula halus
1 sudu besar jus lemon (k.gee guna sunquick)



Cara :
Oven dipanaskan pada suhu 170 C. Kemudian alaskan loyang dengan paper sheet dan biarkan kertas lebih daripada loyang supaya senang untuk keluarkan kek nanti. Satukan susu segar dan jus lemon, biarkan 5 minit. Tepung diayak bersama garam dan ketepikan seketika. Didalam mangkuk lain, pukul mentega hingga putih dan berkrim, kemudian masukkan gula dan pukul lagi dalam 2-3 minit Lastly masukkan telur dan vanilla, pukul lagi sehingga sebati. Selepas tu, susu segar, pewarna merah dan coklat emulco di satukan dan kacau sehingga sebati.

Masukkan tepung dan campuran susu segar tadi secara bergilir-gilir dengan di dahulu tepung dan di akhiri dengan tepung juga dalam adunan mentega tadi dan habiskan dalam 3x tuang. Kemudian, satukan cuka dan baking powder, biar sehingga keluar buih, kemudian masukkan dalam adunan kek dan kacau sehingga sekata. Simpan 2 sudu besar adunan untuk buat marble. Tuang dalam loyang dan bakar selama 30 minit atau sehingga masak. Keluarkan dari oven dan boleh la sediakan lapisan cheesenya.

Cara Membuat Lapisan Cheese :-

Putar cream cheese sehingga berkrim, kemudian masukkan gula dan putar lagi. Masukkan jus lemon dan telur. Putar biar sekata dan sebati. Seterusnya tuangkan ke atas kek dan amik bancuhan yang disimpan tadi masukkan dalam plastik bag atau buat kelongsong guna paper sheet, pastu gunting sikit hujungnya biar ada lubang kecil, kemudian picit atas lapisan cheese buat garisan melintang, kemudian tarik turun guna lidi satay agar jadi lorek seakan berpetak-petak gitu.

Bakar selama 30-35 minit dengan suhu 150 C atau bergantung pada oven masing-masing dengan kaedah steam bath (masukkan loyang kek dalam loyang yang berisi air panas mendidih ye, bkn suam2, macam nak bakar cheese kek, tujuannya agar kek tetap moist dan tidak kering). Sejukkan betul-betul sebelum dipotong. (seeloknya biarkan kek 4-5 jam dalam peti sebelum dipotong agar lapisan cheese betul-betul mengeras). Kemudian keluarkan dan biar seketika dengan suhu bilik sebelum dihidangkan.

Nota : Lapisan cheese tu adalah di syorkan bakar guna api bawah saja agar warna cheese tidak kuning sangat.

Cara k.gee :

Tuangkan separuh adunan rvc ke dalam loyang dan lapiskan dengan adunan cheese di tengahnya. Kemudian tuang baki rvc yang selebihnya.  Bakar pada suhu 170 darjah C selama 35 minit atau sehingga kek masak. 


Taraaa...!!! sudikanlah....

Monday, February 18, 2013

Nasi dagang gulai pucat


K.Nor :  Gee! kenapa gulai nasi dagang tu rupanya pucat ?
Gee-hut :  Alahai malunya... pestime buat lah K.Nor... main hamtam keromo jer... hehehe
K.Nor :  Ahaaa... nanti K.Nor bagi tips macamana nak buat gulai nasi dagang yang kaw yer..  
Gee-hut :  Terima kasih K.Nor... muah muah... cayang k.nor...



Ini pertama kali mencuba buat nasi dagang... bertungkus lumus di dapur... sebenarnya sudah lama teringin nak mencuba akhirnya terlaksana juga hasrat di hati bila terjumpa rempah gulai nasi dagang di pameran Halfest dan terus beli... cuma gulai ikan tongkol tu agak pucat sikit... mungkin kurang cili kisar kot...komen K.Nor... Untuk resipi ini k.gee gunakan kaedah lama iaitu masak santan terlebih dahulu sehingga naik minyak baru masukkan rempah gulai... rasanya boleh tahan sedap cuma rupanya kurang berseri kan... Tak mengapalah... next time buat lagi yang berseri-seri pulak guna resipi kaw dari dapor K.Nor.. hehehe.. nasib baik ada sifu...  Jadi kali ini k.gee pinjam resipi gulai K.Nor untuk paparan di sini yer...


NASI DAGANG

Bahan-bahan

600 gm cawan beras
100 ml beras pulut
30 gm halba
400 ml air
400 ml santan pekat
garam secukup rasa

Bahan utk DiMayang

5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
4 cm halia

Cara-cara membuatnya

1.Beras dan pulut disatukan dan dibasuh. Rendam semalaman.
2. Toskan dan kukus sehingga naik wap.
3. Masukkan dalam mangkuk dan siramkan dengan santan cair. kacau rata.
4. Masukkan semula  ke dalam kukusan dan kukus lagi 10 minit.
5. Taburkan halba, hirisan halia, bawang dan kukus sekali lagi sehingga naik wap.
6. Masukkan dalam mangkuk besar dan siramkan dengan santan yg telah digaulkan garam.
7. Gaulkan rata dan hidangkan bersama gulai nasi dagang dan acar.


GULAI IKAN AYA@TONGKOL (Gulai Nasi Kuning/Dagang)

resipi : K.Nor@SecubitGaram

Bahan:

1 ekor ikan aya@tongkol
3kpg asam keping
sedikit garam
air secukupnya


Bersihkan ikan aya dan potong.
Masukkan dalam periuk dan masukkan asam keping, garam dan air.
Air hendaklah melebihi paras ikan.

Masak dgn api sederhana sehingga air tinggal lebih kurang 1/4.
Lagi lama ikan dimasak lagi sedap, isi ikan pun lebih pejal.


Bahan2 kuah:

4 sudu besar cili mesin
7 bj bawang merah *
3 ulas bawang putih *
1in halia *
1in lengkuas *
1in kunyit hidup * ( * diblend )
3 sudu besar rempah gulai nasi dagang ~ boleh guna rempah cap bunga ros kalau tak ada rempah khas utk gulai nasi dagang
2/3 cawan santan fresh/pekat
4 cawan air
air asam jawa
sedikit belacan ~ optional
nisan/gula melaka
garam
sedikit gula
7 - 9 bj cili padi
minyak

Bahan penumis:

1 btg kulit kayu manis
5 kuntum bunga cengkih
3 bj buah pelaga
1 kuntum bunga lawang

Panaskan minyak dalam periuk dan masukkan bahan penumis.
Biarkan hingga wangi dan masukkan cili mesin.
Goreng hingga cili menjadi garing dan masukkan bahan2 yg diblend.
Masak hingga sedikit kering dan masukkan rempah gulai.
Masukkan 1/2 cawan air dan masak lagi hingga garing dan pecah minyak.
Masukkan lebihan air dan masak hingga mendidih.
Masukkan santan dan renihkan hingga kuah mendidih sambil sesekali mengacau.
Masukkan air rebusan ikan, jus asam jawa, belacan, nisan/gula melaka, garam dan gula.
Masak hingga kuah sedikit pekat dan masukkan ikan yg dah dimasak tadi.
Renih lagi kuah hingga kepekatan yg disukai.
Sekiranya kuah terlalu pekat dan tak pecah minyak bolehlah ditambah air panas dan masak semula hingga keluar minyak.
Masukkan cili padi dan masak lagi sekejap dan baru lah dipadamkan api.

* ikan aya lebih sedap direbus lebih awal dan dibiarkan supaya rasa masam2 tu meresap ke dalam isi ikan.
** kalau ada belimbing buluh, boleh lah diletak dlm gulai ni. nanti rasa gulai lagi sedap :)


Ta Ta...


Friday, February 15, 2013

Homemade Kentang putar


Assalamualaikum dan salam Jumaat semua... sihat dan ceria hendaknya di hari Jumaat yang mulia ini... Terus saja ke menu simple k.gee pagi ini... homemade kentang putar... sebenarnya ini bukan menu sarapan pagi ini tapi menu dinner 2 hari lepas... bak kata k.gee tempohari, bila anak2 cuti ada saje menu request daripada mereka... kentang ini gandingan bersama chicken chop untuk anak teruna k.gee yg sorang lagi yang sukakan menu western... 


HOMEMADE KENTANG PUTAR

Bahan-bahan:
• 5 biji kentang
• 1 sudu kecil lada hitam di tumbuk halus
• garam secukup rasa

Cara-cara buat :

1. Rebus kentang dengan sedikit garam
2. Setelah empuk toskan air dan lecek sedikit hancur
3. Gaulkan dengan lada hitam dan bentukkan bulat-bulat. Ketepikan.

Sos kentang putar

Bahan-bahan
• 650 ml air
• 5 sudu besar stok ayam
• 1 biji bawang besar - cincang
• 1 batang saderi - cincang
• 40 gm mentega
• 20 gm tepung gandum
• 1 sudu besar sos tomato
• 1 sudu besar sos tiram
• sedikit serbuk lada hitam
• kicap pekat
• garam
Cara-cara:

1. Masak air dengan stok ayam, saderi dan bawang besar hingga mendidih. Renihkan dalam 10 minit.Tapis ke dalam mangkuk.
2. Cairkan mentega dan masukkan tepung gandum. Kacau atas api kecil hingga tak melekat pada tepi periuk.
3. Tuang air rebusan sedikit demi sedikit sambil dikacau supaya tak bergentel.
4. Masukkan sos tomato dan sos tiram, juga beberapa titik kicap pekat (kicap utk bagi warna).Masukkan juga serbuk lada hitam dan garam.
5. Masaklah ikut pekat mana yg disukai dan curah di atas kentang yang dibentuk tadi.



Simple & sedap...nyam...nyam..!!


Thursday, February 14, 2013

Kuih talam keladi


Lebatnya hujan pagi ini... kelam kabut k.gee dibuatnya nak menghantar eQa ke sekolah... mana nak pegang beg sekolahnya, beg kain telekung, beg baju swimming lagi... nak pegang payung lagi... subhanallah... sudah macam santa claus dibuatnya... lucu pun ada... kik kik kik !!



Hujan-hujan begini kita layan kuih talam purple ajelah yer... Resipi k.gee angkut dari dapor si comel Ita Masam Manis dan idea nak menalam ini tercetus selepas melihat kuih talam keladi ilebiu dari CMG... cantek2 belaka...!!



TALAM KELADI

Resipi : Ita Masam Manis
By : Chef Asma

Bahan-Bahan Utk Lapisan Bawah

220 gm tepung beras (Yatie guna 2 cwn)
40 gm tepung ubi(Yatie guna 3 sudu besar)
1 1/2 tsp garam
5 sudu besar gula pasir (Yatie tambah, suka manis sikit kuih ni)
300 ml santan pekat
700 ml air
250 gm keladi - lebih sikit pun tak apa - buang kulit, basuh, basuh dgn air garam untuk tidak hitam potong kiub dan kukus selama 5 minit.- kukus baru timbang

Bancuh semua bahan A hingga rata dan sebati kecuali keladi
Tapis ke dalam periuk . Masak sehingga naik wap dan masukkan keladi
Kacau sebentar dan tuang ke dalam loyang 10" x 10" x 3"
Kukus selama 25 minit

Bahan-Bahan Utk Lapisan Atas

150-180 gm tepung gandum (Yatie guna 1 1/2 cwn je)
250 gm gula halus
3-5 biji telur (Yatie guna 3 biji telur je)
250 ml santan
500 ml air
sedikit pewarna purple

Bancuh semua bahan bahan diatas, tapis ke dalam periuk
Masak sehingga naik wap. Tuang ke atas lapisan bawah
Kukus selama 30 minit.(Lap 5 minit sekali)

Ita buat 1/2 adunan sahaja dari resepi di atas dan ita gunakan loyang 8 inc. Kat bawah ni cara bagaimana ita warna kan keladi tu.

Keladi yang telah kita potong kiub tu ita gaulkan dengan pewarna unggu. Kemudian ita gaulkan dengan tepung ubi, gaul rata2 kemudian ayak.

Pancitkan dengan air dan kemudia ulang balik langkah tadi iaitu gaul semula dengan tepung ubi lebihan ayak tadi. Kemudian rebus hinga empuk. Masa merebus tu kacau supaya ia tak melekat.

Selepas keladi empuk Toskan dan rendam dalam air ais. Siap untuk di letakkan dalam talam


Selamat menjamu selera... !!


Wednesday, February 13, 2013

Bihun sup daging


Aummm cakk!!! 4 hari tak bersiaran...rindu anda semua... Apa khabar anda di sana ? Letih yer...? amboii... bukan main sakan lagi makan angin sampai dah tak larat nak angkat kaki lagi... sudah terlentang jer tu... kesiannya... K.gee menghabiskan cuti di rumah saja sambil bersantai-santai bersama anak2 yg balik bercuti... tak ada aktiviti yang istimewa pun cuma layan mereka makan-makan saja... lepas sorang sorang request menu untuk santapan... rindu masakan ibu kononnya... itu yg tak sempat update blog... hehehe

Bihun sup menu kegemaran anak teruna k.gee yang sulung... memang favourite Along lebih2 lagi ada pegedil daging dan sambal kicap cili padi... memang bertambah2 makannya... lepas semangkuk semangkuk... habis makan bihun meratah pegedil pulak sambil dicicah sambal kicap... emmm mmg sedap masakan ibu.... berbaloi2 



BIHUN SUP

1 bungkus bihun - dicelur dan toskan

Bahan Sup


500 gm daging
- rebus bersama halia dan bawang putih sehingga daging lembut.  Hiris nipis.

5 ulas bawang putih   )
3 inci halia                 ) dikisar halus
3 ulas bawang merah )

1 ketul kiub ayam
Daun sup dan daun bawang
Air
Garam secukupnya
Langkah

Tumiskan bahan kisar hingga naik baunya dan masukkan ke dalam periuk rebusan daging tadi.  Tambahkan kiub ayam, air, garam dan sup bunjut adabi.  Masak sehingga mendidih.  Selepas masak taburkan daun sup dan daun bawang.

Sambal Kicap

Kisar 10-15 biji cili padi bersama 4 ulas bawang putih.  Tambahkan kicap, gula dan perahan limau nipis.

Pegedil Daging

300 gm daging cincang Ramly Burger
4 biji ubi kentang - direbus dan lecek
1/2 cawan bawang goreng
Daun sup dan daun bawang - dihiris halus
Sedikit ladah sulah
Garam secukup rasa
2 biji telur
Minyak untuk menggoreng

Cara:

Campurkan semua bahan kecuali telur dan gaul hingga rata.  Bentukkan bulat-bulat bersaiz sederhana.  Celupkan ke dalam telur dan goreng.  Sedap dimakan bersama bihun sup.



mari..mari..mari...
k.gee belanja bihun sup