Sunday, January 17, 2016

Churros


Sebenarnya udah lama teringin nak buat kuih Churros ini... baru hari ini berkesempatan... bila belek resepinya nampak mudah dan bahannya juga ringkas sahaja... katanya churros sangat popular di Sepanyol, Portugis, Amerika Latin dan di Terengganu juga... orang Trengganu menggelarnya kuih belimbing... ada yang gemar ditabur gula halus dan sedikit cinnamon dan penggemar coklat pula cicah churros sama coklat cair... sedap dimakan hangat... garing di luar dan lembut di dalam...   


Pertama kali k.gee makan churros... rasanya ala-ala donut dan krim puff rupanya... patutlah anak-anak merengek suruh maknya buatkan... sedap rupanya... tambah bila dicelup coklat panas.. pergh! memang heaven! 


CHURROS / BELIMBING
Sumber : fb DARI DAPUR SEORANG AMATUR

1 cawan air*
1 sudu besar mentega/margerin
1 sudu besar gula* (gula yg bancuh teh kopi tu)
1 sudu teh esen vanila*
Secubit garam*

1 cawan tepung gandum
1 bj telur B




Cara2:

1. Satukn air, gula, garam, esen vanilla dan mentega dlm kuali (sy guna kuali non stick). Buka api dan kacau smpai gula larut... dan mentega tu cair...

2. TUTUP api, masukkn tepung sikit2 smbil kacau dgn senduk...

3. Terus je balik2 kan tepung tu smpai doh yg lembut terhasil... Kalau doh tu berketul2, pedulikn jee... Take ur time utk uli doh bg licin yee... tak perlu tergesa2  Doh yg cantik adalah doh yang licin dan agak kenyal. Tak melekat2 dekat tangan.

4. Telur pukul dadar sikit dn tuang dlm doh. Doh masih panas, jd trs je uli2 dgn senduk... Bila doh dh sejuk sikit dn blh dipegang, uli la dgn tangan smpai betul2 sebati dn takde lg ketul2 tepung.


5.  Masukkn doh dlm piping bag... dan paipkn ats dulang yg dialas baking paper (tujuan xnk bg melekat je...)  Seelok2nya guna piping bag yg tebal klau xnk 10 kali tukar bag... klau piping bag nipis, kompom pecah.  Guna star nozle utk corak belimbing yg cantik. Klau nk guna acuan samprit pn blh.

6.  Sementara dok paip Churros tu, blh la panaskn kuali minyak.  
Goreng smpai warna keemasan.
Jgn trlebih masa, nnti churros kita jd keras.


7.  Dip plak dlm hot coklat... mmg 'hot'



Sesuai untuk minum petang... cubalah

Tuesday, January 12, 2016

Kurma ayam


Ini kurma ayam yg k.gee masak bersama nasi minyak untuk lunch kelmarin... ada berbaki 2,3 ketul k,gee panaskan dan cicah sama roti prata... cukuplah untuk menu makan malam kami berdua... anak-anak k.gee masakkan tomyam campur sama telur dadar.... 



KURMA AYAM
Resepi : Chef hanieliza

Bahan-Bahan:

1 ekor ayam/ (dibersihkan & dipotong kecil) 
5 s/b rempah kurma ayam/daging [bancuh dgn sikit air] 
3 b iji kentang [belah 4] 
1 labu bawang beasr [belah 4] 
1 biji buah tomato 
2 biji lada hijau [belah 2] 
2 cawan santan pekat [1 biji kelapa] 
1 biji limau nipis [ambil jusnya] 
2 s/b majerin 
minyak 
garam 

Bahan tumbuk 

5 ulas bawang merah 
3 ulas bawang putih 
3 cm halia 

Cara: 

1. Panaskan minyak dan majerin . Tumiskan bahan tumbuk sehingga wangi. Kacau rata dan biarkan naik minyak.

2. Masukkan rempah kurma dan kacau rata sehingga naik minyak semula.

3. Masukkan santan dan kacau rata. Biarkan mendideh.

4. Masukkan ayam dan kentang. Biarkan mendideh dan agak pekat.

5. Masukkan garam dan jus limau. Perlahankan api.

6. Masukkan cili hijau, bawang besar dan tomato yg telah dibelahkan dan biarkan sehingga naik minyak semula dan pekat.

7. Hidangkan dengan nasi atau roti.



Sedapnya kurma ayam... jemput laaa


Sunday, January 10, 2016

Tempe goreng kering mak saya


Layan menu simple saje hari ini... tempe goreng kering sama ikan cencaru masak kicap... yang penting famili berselera makan... Teringat pada ayah k.gee yang memang sangat gemarkan tempe goreng kering yang emak buat... emak akan hiris nipis2 tempe dan gaulkan dengan sedikit tepung jagung... kemudian goreng sampai garing... Sambalnya pula emak akan tumbuk cili padi dan bawang merah... bila sudah garing sambalnya, perasakan dan gaulkan dengan tempe tadi... mak ai! memang sedap dimakan sama nasi panas... 


Kali ini k.gee ubahsuai sikit resepi tempe emak... k.gee tambahkan beberapa urat kacang panjang (hasil tanaman encik hubby taw... ), ikan bilis dan sedikit sos tiram... 




TEMPE GORENG GORENG KERING

4 keping tempe
15-20 biji cili padi
4 ulas bawang merah
3 urat kacang panjang - dipotong kecil
Segenggam ikan bilis
1-2 sudu sos tiram
1 sudu kicap manis
Garam secukup rasa
Minyak untuk menggoreng

Caranya :

Tempe dipotong kecil dan nipis.  Goreng sampai garing. Angkat dan ketepikan.  Goreng ikan bilis sampai garing.  Angkat dan ketepikan.
Cili padi dan bawang merah dikisar / tumbuk hingga lumat.
Panaskan kuali dengan sedikit minyak dan tumis bahan kisar tadi.  Tambahkan garam, kicap manis dan sos tiram.  Biarkan hingga garing.
Kemudian baru masukkan kacang panjang, tempe dan bilis.  Gaul rata.  Siap.


Meratah pon sodap ni...


Saturday, January 9, 2016

Karipap comel


Sudah seminggu anak-anak bersekolah di tahun baru kan.,.. kerja-kerja menyampul buku sekolah masih belum lagi selesai... buku latihan, buku teks dan buku tulis semua perlu disampul... aduhai... banyaknya... lenguh badan dibuatnya... 

Tiba-tiba... 

"Mak..! petang ini buat karipap yea... dah lama tak makan karipap yg mak buat... karipap yang jual di kantin tu tak sedap... boleh ye mak...?! "

"Hmmmm... (sambil mengeluh) aduhai anak... kita baru nak berehat, dia oder karipap pulak... 

"Betul tu... makan karipap panas petang hari sama teh-o memang sedap..."  sampuk si ayah

Nampaknya esok lah pula sambung kerja menyampul buku.... nak menggodek karipap pulak... jom ke dapur..!


KARIPAP

Inti
1 kilo ubi kentang - potong dadu
100 gm daging/ ayam - potong dadu
2 biji bawang besar - potong dadu
4 ulas bawang putih
2 sudu rempah kari - bancuh dengan sedikit air
1 sudu cili kisar
Garam dan gula secukupnya
Minyak
Daun sup/daun bawang/daun kari
Sedikit udang kering - tumbuk

Cara membuat inti:

1. Tumiskan bawang putih yg ditumbuk bersama sedikit udang kering. 
2. Masukkan bancuhan rempah kari, daun kari dan cili kisar. 
3. masukkan pula daging/ayam yg didadu. Biar sehingga daging empuk.  Kacau.
4. kemudian masukkan kentang dan bawang. 
5. Tambahkan sedikit air dan biarkan sehingga kentang empuk. 
6. Masukkan garam dan gula secukup rasa. 
7. Masak sehingga agak kering.  masukkan daun sup & daun bawang yg dimayang halus. 
8. Gaul sebati dan bolehlah diangkat. Sejukkan.


PASTRI KARIPAP

Resepi Olahan : Amy

500 gm tepung gandum
170 ml minyak jagung
250 ml air ais atau air sejuk dari peti ais
1 sudu teh garam halus
1 biji jus limau kasturi 
Caranya :

Masukkan tepung ke dalam mangkuk pengadun
Sementara itu kita panaskan minyak jagung hingga betul-betul panas.
Berhati-hati tuangkan minyak panas ke dalam adunan tepung.
Berhati-hati ya minyak masih panas, gunakan senduk kayu untuk kacau adunan rata-rata hingga adunan menjadi seperti serbuk roti.
Masukkan sedikit garam
Kemudian tuangkan air sejuk dari peti ais, jangan tuang semua air tu ya, tuang sikit-sikit.
( sukatan air tidak di gunakan semuanya, ianya bergantung pada kesebatian doh, bila dah sebati tak perlu tambah air lagi )
Kacau adunan rata.
Perahkan jus limau kasturi dan uli adunan hingga lembut dan tidak melekat di tangan. Doh biar ia keras sedikit ya, sebab tu jumlah air tidak di masukkan semua.
Kemudian masukkan doh ke dalam bag plastik yang bersih dan tidak bocor
Bungkus kedap dan perap doh selama 15 minit, supaya doh berpeluh dan menjadi doh yang lembut dan elastik


Selepas 15 minit, keluarkan doh dari plastik dan bulat-bulatkan doh sebesar guli, anggaran berat setiap doh 25 gm
Masukkan semula doh dalam plastik dan perap lagi selama 15 minit
Setelah di perap bolehlah kita mulakan proses membuat karipap.
Canai doh, tidak terlalu tebal dan tidak terlalu nipis. Jika menggunakan mesen pengelek, setkan pada no 3 untuk ketebalan yang sempurna.
Terap doh dengan menggunakan alat penerap. Jika nak membuat karipap bentuk bulat kena terap dengan acuan bulat dan anda perlukan 2 keping untuk 1 karipap.
Letakkan inti, kemaskan tepinya dan klim kan tepinya kemas.
Susun di atas dulang yang telah di taburkan sedikit tepung. 
Jika menggunakan acuan karipap yang separa bulatan anda hanya perlu letakkan doh yang telah di canai pada acuan karipap, letakkan inti dan tutup acuan, maka terhasillah karipap separa bulatan.
Buat sehingga habis semua adunan doh.  Kemudian bolehlah di goreng.

Kaedah Mengoreng Karipap :
Panaskan minyak, tapi tidak boleh terlalu panas.
Minyak yang terlalu panas membuatkan permukaan karipap mengerutu atau berbenjol-benjol
Tapi minyak juga tidak boleh tidak panas kerana karipap akan menyerap minyak membuatkan terasa muak bila di nikmati.
Jadi pastikan minyak sederhana panasnya. 
Biarkan ia kuning keemasan di sebelah bawah baru balikkan 
Bila dah betul-betul masak baru angkat dan toskan minyaknya dengan kitchen towel yang mampu menyerap minyak.


Layan karipap comel sambil sampul buku sekolah yg menimbun... heheh



Thursday, January 7, 2016

Asam pedas pari versi Melaka


Asam pedas adalah menu faveret famili k.gee... paling kurang seminggu sekali akan ada lauk asam pedas disajikan... sama ada asam pedas ikan atau ayam... kali ini k.gee mencuba resepi asam pedas ala Melaka dengan sedikit ubahsuai ikut citarasa k.gee. Asam pedas Melaka ada kelainan sedikit kerana ianya lebih berempah dan pekat kuahnya... Biasanya kalau ke Melaka k.gee tidak akan melepaskan peluang menikmati sajian popular ini...  



Asam pedas pari ala Melaka

BAHAN-BAHANNYA :-)
700 gram ikan pari
1 biji terung ungu saiz besar (kalau kecik, guna 2 biji) - k.gee tak letak
20 biji tomato ceri (atau 2 biji tomato biasa)
2 batang serai, diketuk
1 kuntum bunga kantan, belah 2
1 genggam daun kesom
1 3/4 senduk nasi cili kisar
3/4 camca teh jintan kasar*
3/4 camca teh jintan halus*
1/2 camca teh lada hitam*(*goreng tanpa minyak, kemudian tumbuk halus)
1 kiub ikan bilis (optional)
1 camca besar pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci belacan

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
3 biji bawang merah, hiris
1 ulas bawang putih, hiris
1/2 camca teh halba
1 tangkai daun kari

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan pari dipotong pada saiz sederhana, perap dengan jus limau nipis selama 15 minit, kemudian cuci bersih dan toskan. Terung dibelah 2 kemudian potong 3 setiap belahan, rendam. Tomato di belah 4 setiap 1 (kalau guna tomato ceri tak perlu belah). Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan atau lebih sedikit). Tumis bahan2 tumis dan serai hingga harum. Masukkan bahan2 kisar halus dan masak sekejap. Tambah cili kisar, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.
  3. Masukkan bahan tumbuh halus dan tambah pes asam jawa dan kacau rata. Tuang air secukupnya (anggaran 1 liter). Biar mendidih. Tambah ikan, kiub ikan bilis (jika guna) daun kesom dan bunga kantan. Kemudian masukkan terung. Masak hingga terung lembut.
  4. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Akhir sekali masuk tomato ceri, masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain...


Sedap kan... layan sama nasi panas dan telur dadar



Sunday, January 3, 2016

Kuih Talam Keladi Berlauk


Sambil bersantai petang semalam, sempat k.gee intai-intai dapor FHA... paling teruja kisah sambal totok Jawa asli yang banyak kali diulang tayang dengan aneka sajian dan resepi yang menambat selera... Kalau di Pahang sambal totok ini dikenali sebagai sambal hitam... mungkin adik beradik kot.... cuma mungkin orang Pahang banyak tanam pokok belimbing jadi sambal hitam Pahang dibubuh belimbing yang direbus hingga hitam... yang pasti sambal hitam dan sambal totok gerenti pedas... kan FHA?


Bila tengok kuih talam keledek berlauk bersama sambal totok jawa asli oleh FHA, k.gee terus terliur... kebetulan sambal hitam ada stok dan keladi beli dari pasar malam pun ada... alang-alang dah 'ngences' ni kata orang Jawa... jom ke dapor!!  


TALAM KELADI BERLAUK 
Sumber : Intai-intai Dapor FHA,
Resepi : Shiela Spicesjourney

Bahan A

175g tepung beras
40g tepung jagung (k.gee tak letak)
20 g tepung gandum
1 liter santan
sedikit garam

Bahan B
1 biji keladi

Bahan C
Sambal Hitam Pahang (k.gee beli)

Bahan D
Daun bawang
Bawang goreng
Cili merah lembut.

Cara-cara memasak
1. Keladi dibuang kulit dan potong dadu.  Rebus sehingga empuk. Toskan airnya.
2. Satukan Bahan A dalam periuk dan kacau di atas perlahan sehingga naik wap.
3. Tuang ke dalam loyang yang telah dilengser sedikit minyak.
5. Masukkan keladi yang sudah empuk tadi dan sambal hitam di atasnya.
6. Kukus selama 25 minit atau sehingga masak.
7. Angkat dan taburkan lagi Sambal Hitamdiikuti bawang goreng, daun bawang dan cili merah yg dihiris.
8. Sejukkan sebelum dipotong.



Jemput minum petang... wallah!

Saturday, January 2, 2016

Mee Kari koboi


Sudah 2 Januari 2016... Rasanya masih belum terlewat nak mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua yang mengenali diri ini di mana jua berada... Semoga tahun ini memberi sinar baru dan cahaya kecemerlangan dalam apa jua yang diceburi... Semoga sentiasa diberi hidayah, kekuatan dan ketabahan oleh Allah menghadapi cabaran dan ujian kehidupan yang penuh duri ranjau... Semoga sentiasa dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat... 
Amin... 


Sajian pembuka tirai 2016...  mee kari koboi... ahai! kenapa koboi? Tak ada kerang,,, tak ada fish cake... tak ada fish ball... tak ada sayur... cuma yang ada dalam stok peti ais saja... tak banyak 'aksesori' sekadar ada beberapa ekor udang dan isi ayam 2,3 ketul... kebetulan ada telur puyuh belen buat sambal tumis kelmarin... kira aci lah tu.. kan? heee....



MEE KARI KOBOI

Bahan-bahan :

1 kg mee kuning
2-3 ketul ayam - potong kecil
Beberapa ekor udang
2 sudu besar rempah kari - bancuh dengan sedikit air
2 keping asam gelugor
2 cawan santan pekat
2 cawan santan cair
Minyak masak
Garam dan gula secukup rasa

Bahan untuk kisar halus

2 biji bawang merah
2-3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
10 tangkai cili kering - rebus dan toskan

Bahan hiasan : Telur rebus dan  bawang goreng


Cara penyedaiaan :

  1. Panaskan air sehingga mendidih dan celur mee kuning seketika. Angkat dan toskan.
  2. Panaskan minyak, masukkan bahan kisar dan rempah kari. kacau sehingga naik bau dan agak garing dan betul-betul pecah minyak.
  3. Masukkan ayam dan kacau seketika sehingga separuh masak kemudian tuang sedikit air. Masukkan pula udang, santan, asam gelugor, garam dan gula.  Kacau hingga mendidih dan kuah masak.
  4. Hidangkan mee bersama bahan hiasan dan tuang kuah secukupnya.

Bihun kari pilihan encik suami... 




Ringkas... yang penting menyelerakan suami dan anak-anak...
Alhamdulillah


HAKMILIK GEE HUT
Designed by UMIESUEstudio 2015