Showing posts with label Pulut. Show all posts
Showing posts with label Pulut. Show all posts

Tuesday, October 13, 2015

Pulut kuning tanpa hajat


Hari minggu baru ini k.gee 'termengidam' nak makan pulut kuning... tak ada hajat dan tak ada niat apa-apa yang istimewa... cuma tekak teringin nak makan.... Kebetulan anak bujang k.gee ada balik cuti hujung minggu... asalnya nak buat nasi komok ala Thailand tapi hari minggu tu ada banyak pulak jemputan kahwin jiran dan kawan-kawan sepejabat, so batalkan saje niat nasi komok dan digantikan dengan pulut kuning untuk sarapan... Encik Laling request pulak sambal bilis cili padi ala-ala Sambal Totok Jawa... pergh! berselera....


Kata ustaz... kalau nak makan pulut tak perlu tunggu ada keraian dan tak perlu dibuat warna kuning... kalau ada niat atau hajat, makanan lain pon boleh... bimbang kita terikut-ikut budaya penganut agama dan kaum lain yang sebenarnya tiada dalam tuntutan agama kita...

Ya Allah... moga kita dilindungi dari kesesatan...



PULUT KUNING

Bahan bahan

500g beras pulut
1 keping asam keping
1 sudu kecil kunyit serbuk
1 cawan santan pekat
Garam dan gula secukup rasa

Cara cara

Beras pulut dicuci dan toskan. Masukkan ke dalam bekas dan curahkan air secukupnya.  Tambahkan kunyit serbuk dan asam keping.  Rendam selama 4 jam atau semalaman.

Panaskan pengukus. Lapik kukusan dengan daun pandan atau daun pisang.  Masukkan beras pulut dan kukus separuh masak. 

Sementara itu, satukan santan, garam dan gula.  Gaul rata. 

Keluarkan pulut dari kukusan dan masukkan ke dalam bekas besar.  Tuang santan sedikit demi sedikit dan gaul rata.  Buat sehingga santan habis dan pulut nampak kembang dan lembut.
Masukkan semula ke dalam kukusan dan kukus 10 minit lagi.


Sambal Totok
Resepi : Ita Masam manis

Bahan-bahan:

Segenggam ikan bilis
10-15 tangkai cili padi
3 biji cili merah ~ ita tambah
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci belacan bakar
Minyak utk menggoreng
Garam dan gula secukup rasa
Jus limau kasturisecukupnya


Cara penyediaannya :
Mula-mula kita goreng dahulu ikan bilis hingga garing, angkat dan ketepikan

Kemudian goreng pula bawang merah, bawang putih, cili padi dan cili merah hingga layur

Angkat dan ketepikan

Belacan di bakar kalau nak goreng sekali pun boleh

Tumbuk ikan bilis kasar-kasar, keluarkan dari lesung dan ketepikan

Kemudian tumbuk pula cili padi, cili merah, bawang merah dan bawang putih hingga lumat.

Perasakan sekali dengan garam dan gula

Masukkan dalam bekas dan perahkan limau kasturi

Akhir sekali baru campurkan dengan ikan bilis tumbuk tadi dan gaul rata.

Dengan mencampurkan ikan bilis pada peringkat akhir akan membuatkan sambal terasa rangup bila tergigit ikan bilis.



Sudi-sudikanlah...

Friday, August 15, 2014

Pulut sambal bilis


Pulut memang menu kegemaran anak-anak k.gee... Biasanya pada hujung minggu k.gee akan masak pulut versi tanak dan digandingkan bersama sambal ikan bilis... sambalnya agak pekat dan kering dan ikan bilisnya digoreng garing... Kalau suka boleh juga pulut tanak dimakan bersama ikan masin, telur dadar, serunding atau pulut digaul nyiur...


Orang kata makan pulut mengakibatkan mata mengantuk dan badan jadi lesu... betul ke?  dan ada pulak yang mengatakan kalau rajin makan pulut boleh menghaluskan kulit dan kulit jadi cantik macam orang Siam   wallahu’alam...


PULUT SAMBAL BILIS

500gm pulut susu

Air secukupnya

Basuh beras pulut, toskan dan masukkan ke dalam periuk. Tambahkan air secukupnya. Jangan terlalu banyak air, agak-agak sama paras dengan beras. Masak dengan api perlahan.


SAMBAL BILIS

Bahan-bahan :


•2 genggam ikan bilis (digoreng garing dan ketepikan)
•20 biji cili kering (direbus dan dikisar)
•2-3 biji bawang merah kisar
•1 sudu sos tiram
•garam dan gula secukup rasa
•minyak untuk menumis
•Asam keping

Cara:

•Panaskan minyak di dalam kuali, tumis bawang merah dan cili kisar sehingga garing. Masukkan sedikit gula, sedikit garam dan juga belacan.

•Tambahkan sos tiram dan asam keping dan masak sehingga sambal agak kering.

•Kemudian masukkan ikan bilis goreng tadi dan gaulkan.

•Sedia dihidangkan



Salam Jumaat semua.....

Thursday, April 3, 2014

Pulut sambal tumis


Assalamualaikum... pagi-pagi layan pulut kuning aci tak? ini menu minggu lepas semasa anak-anak cuti sekolah... k.gee sediakan pulut kuning bersama sambal tumis ikan bilis dan rendang ayam... tapi rendang tak sempat nak berposing sudah licin dikerjakan anak-anak... k.gee lebih gemarkan pulut cicah sambal tumis... teringat pulut kuning sambal tumis nenda di pagi raya.... memang sedap... kalau pulut sudah habis sambal dimakan pula dengan nasi putih... pergh! fengsan...



PULUT KUNING


Bahan-bahan

1 kg beras pulut - basuh dan rendam semalaman. Tambahkn sedikit kunyit serbuk dan 2 keping asam gelugor.

3 cawan santan - campurkan sedikit garam

Cara ;

- panaskan air kukusan dan kukus pulut lebih kurang 15 minit.

- angkat dan gaulkan dgn santan hingga sebati dan pulut lembut.

- jika suka boleh kukus sekali lagi supaya lebih tahan lama.




SAMBAL TUMIS IKAN BILIS

Bahan-bahannya:


100 gram ikan bilis
1 biji bawang besar - dipotong bulat
1/2 cawan air asam jawa
2 sudu besar gula
Garam secukup rasa
1 cawan air
Minyak untuk menumis

Bahan-bahan dikisar:

10-20 tangkai cili kering - rebus terlebih dahulu
10-15 ekor ikan bilis
1 biji bawang besar
2 inci belacan

Penyediaannya:

1. Panaskan kuali dengan sedikit minyak masak. Goreng bilis sekejap.  Angkat dan toskan.

2. Gunakan kuali dan minyak yang sama, masukkan bahan-bahan yang telah dikisar.  Masak sehingga naik bau dan terbit minyak.

3. Masukkan air dan kacau rata. Kemudian masukkan gula, garam, air asam jawa dan ikan bilis tadi. Masak sehingga kuah mendidih.

4.  Akhir sekali masukkan potongan bawang besar, kacau seketika dan bolehlah ditutup api.


Sedia dinikmati.... jemputlah...

Wednesday, February 5, 2014

Pulut tanak rendang ayam


K.gee masak pulut bersama rendang ayam sempena harijadi anak bongsu k.gee Nurin Afiqah pada 2 Februari baru-baru ini... sebenarnya tak rancang pun nak masak pulut dan rendang ni... plannya nak celebrate harijadi eQa di kedai Nasi Arab A-Edrus... tup...tup bangun pagi selongkar peti ais tengok ada banyak stok ayam dalam 2,3 bekas yang berasingan... selalunya bila masak lauk ayam bahagian yg banyak isi tu akan ditinggalkan dan disimpan... bila sudah beberapa kali buat begitu jadinya stok ayam bahagian isi bertimbun dalam peti ais... itulah yg k.gee godek-godek buat rendang...  


Kali ini k.gee buat rendang ayam cili padi.... podeh wooo...!!! tapi k.gee lebihkan kerisik dan kuahnya supaya rasanya dapat diseimbangkan pedas dan manis-manis gitu... nasib baik tak berasap telinga... walaupun pedas tapi eQa makan bertambah-tambah... maklumlah pulut memang faveret dia... hari ini sekali lagi k.gee masak pulut untuk eQa tapaw ke sekolah nak celebrate birthday dengan kengkawan katanya... hmmmm....anak-anak punya pasal k.gee turutkan saje janji dia orang bahagia... kan...?!


PULUT TANAK RENDANG AYAM

1 kg pulut susu
Air secekupnya

Basuh beras pulut, toskan dan masukkan ke dalam periuk.  Tambahkan air secukupnya.  Jangan terlalu banyak air, agak-agak sama paras dengan beras.  Masak dengan api perlahan.

RENDANG AYAM

Bahan-bahan :-

1/2 kg ayam yang telah dibersihkan
1 cawan santan pekat
4 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
10-15 biji cili padi
1 senduk cili kisar
3cm kunyit hidup
2cm halia
2 cm lengkuas
2 batang serai yang dihiris halus-halus dan dikisar lumat
1 batang serai diketuk
2 helai daun kunyit yang dihiris halus-halus
4 sudu kerisik
Garam dan serbuk perasa, secubit gula
Asam keping
Sedikit minyak untuk menumis

Cara membuatnya:

1. Kisar kunyit dan lengkuas sehingga lumat, masukkan bawang merah, bawang putih, cili padi dan halia ke dalam mesin pengisar... Kisar sekali lagi.

2. Panaskan kuali dengan sedikit minyak.  Tumis bahan2 yang telah dikisar dan serai ke dalamnya Masukkan cili kisar sekali. Kacau sehingga sebati.

3. Setelah itu masukkan ayam ke dalam bahan-bahan tersebut.  Kacau rata dan bairkan sehingga ayam kecut sedikit... Masukkan sedikit air.

4. Kemudian masukkan santan, kerisik, garam dan gula secukupnya.  masukkan juga asam keping. Kacau sehingga menggelegak. 

5. Masukkan pula hirisan daun kunyit...

6. Setelah kuahnya agak pekat tutup api... Sedia untuk dihidangkan...    



 Sudi-sudikan lah menjamu mata yer... hehehe

Monday, December 23, 2013

Wajik...cuti-cuti Malaysia


Alhamdulillah... percutian 10 hari 10 destinasi k.gee dan keluarga berakhir semalam.... percutian bermula 13 Disember 2013 dan tepat jam 3.00 petang 22 Dis 2013 kami selamat sampai ke rumah... sangat gembira dapat bercuti bersama suami dan anak-anak ke sebelah utara.... pakej percutian 3 hari 2 malam di Pulau Langkawi dan disusuli dengan beberapa destinasi lain seperti Cameron Highlands, Wang Kelian, Sg Petani, Alor Setar, Pendang, Teloi Timur dan sempat singgah ke KL seketika... seronoknyaaaa cuti-cuti Malaysia.....!!


Hari ini tuan rumah kena pergi shopping barang-barang dapur sebab semuanya sudah kehabisan stok... maklumlah 10 hari gantung periuk kaaann...!! hehehe.... nak mulakan kerja di pejabat pun agak liat sikit... masih terkenang-kenang pengalaman menaiki cable car di Langkawi hari tu... pergh! kecut perut dibuatnya tapi orang kata kalau tak cuba tak tahu kan... ngeri tau....!!


Oklah kita tinggalkan dulu kisah cuti-cuti Malaysia tu... hari ini k.gee hidangkan wajik sebagai menu pembuka tirai setelah 10 hari dapur berhabuk... hehehe... Wajik ini adalah satu lagi resipi k.gee yang dimuatkan dalam majalah Saji Disember 2013... memang sesuai untuk majlis kesyukuran, kenduri kendara,  dan sebagainya.  Ini resipi turun temurun dari bonda k.gee...

RESIPI WAJIK

1 kg beras pulut
1 kg santan kelapa
400 gm gula pasir
200 gm gula merah - masak bersama semangkuk air
Secubit garam
Daun pandan

Caranya :

1.  Pulut direndam semalaman, toskan. Kukus selama 15-20 minit. Ketepikan.
2.  Sediakan kuali, masukkan santan, air gula merah, gula pasir, secubit garam dan daun pandan.  Masak sehingga pekat.
3.  Apabila sudah pekat, tuangkan pulut yang sudah dikukus tadi dan gaul sebati. kacau sehingga pekat dan likat. 
4.  Tuang ke dalam bekas atau acuan dan biarkan sehingga sejuk sebelum dihidangkan.



Jemput makan wajik...


Friday, November 1, 2013

Pulut panggang...


Salam Jumaat yang penuh keberkatan.... Selamat Hari Lahir buat suami tercinta.... 

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahem...

Jadikanlah kami sebagai suami istri yang saling mencintai dikala dekat,
saling menjaga kehormatan dikala jauh,
saling menghibur dikala duka,
saling mengingatkan dikala bahagia,
saling mendoakan dalam kebaikan dan ketaqwaan,
saling menyempurnakan dalam peribadatan

Ya Allah sempurnakanlah kebahagian kami
dengan menjadikan perubahan ini sebagai ibadah kepada-Mu
dan bukti ketaatan serta cinta kami kepada Sunnah Rasul-Mu

Ya Allah…. Ya Tuhanku…….


Aku hanya ingin menjadi Isteri yang di Rahmati…
Isteri yang di Kasihi…
Isteri yang Solehah…
Isteri yang sentiasa di Hati Suamiku…

Aamiin aamin... Yaa Rabbai ‘Aalamiin…!


Semoga kami dikurniakan kebahagiaan di dunia dan akhirat...


PULUT PANGGANG

Bahan untuk inti

1 biji kelapa parut ambil yang putih saja
5-6 ekor udang hidup
* sedikit udang kering
1 senduk cili kisar
*5 ulas bawang merah
*2 batang serai
SEdikit serbuk kunyit
Garam, gula secukup rasa

Cara :

Kisar halus bahan bertanda * kemudian masuk kan kelapa parut, cili kisar, serbuk kunyit, garam dan gula.masukkan bahan kisar ke dalam kuali.  Udang hidup dipotong kecil dan masukkan sekali ke dalam kuali tadi.  Masak dgn api pelahan...kacau inti sehingga masak.

Untuk pulut

Pulut direndam 5-6 jam kemudian di kukus...sediakan pati santan yg dicampur dengan secubit garam & gula...bila pulut siap masak angkat dan gaulkan dengan santan. Gaul hingga mesra.

Cara membuat pulut panggang...

Layur daun pisang terlebih dahulu.supaya senang nak membalut...kalau xlayur kang tekoyak...tepekkan pulut di atas daun pisang.letakkan inti di tengah kemudian gulung...guna lidi untuk sepit dihujung kiri & kanan...

Bakar hingga daun pisang keperangan...kalau suka boleh biarkan hingga hangus sedikit... angkat dan bolehlah di makan

 

Makan pulut panggang jer ye hb, insyaAllah esok buat kek pulak yer... hehehe....

Thursday, October 17, 2013

Salam Idul Adha


Hari ini sudah masuk hari ke13 Zulhijjah... Allaahu akbar. Allaahu akbar. Allaahu akbar. Laa ilaaha illallaahu wallaahu akbar.... demikian masih sayup2 kedengaran laungan takbir sempena Idul Adha... apa khabar duhai teman-teman di luar sana... rindunyaaa pada kalian.... bagaimana ibadah korban di tempat anda? semoga ibadah korban yang kita lakukan dapat mendidik jiwa ke arah takwa dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.. mudah-mudahan....



Bersempena di bulan Zulhijjah ini memang sinonim dengan lauk pauk berasaskan daging... maklumlah daging korban yang banyak tersimpan dalam peti sejuk...  setiap hari satu menu daging disediakan... jangan risau, setiap suapan dari daging korban itu Allah sediakan ganjaran pahala buat kita... InsyaAllah


Ini gulai kawah yang dimasak gotong royong di surau kampung k.gee petang raya kelmarin... hb bawa balik semangkuk ke rumah dan k.gee gandingkan bersama pulut tanak kukus... ermmmm sedapnya dapat makan daging yang segar lagi suci....


Rasanya belum terlewat k.gee nak menyampaikan ucapan ini.... Selamat Hari Raya Idul Adha... Maaf Zahir dan Batin... resipi menyusul kemudian yea... tuan tanah kurang sihat.... heeeeee

Monday, September 23, 2013

Pulut inti... pulih semangat



Syukur alhamdulillah.... masih diberi kesempatan dan kesihatan yang baik untuk mengecapi nikmat hidup di muka bumi ini setelah beberapa hari diuji dengan sedikit kesakitan... Subhanallah... Allah beri sedikit ujian tapi dibayar dengan seribu kenikmatan... begitulah kasih sayang Allah SWT kepada hambaNya.... moga Allah lapangkan hati kita.... apa jua yang ditakdirkan, adalah yang terbaik buat kita...


Terasa rindu di hati... apa khabar anda di sana...? semoga semuanya sihat dan ceria belaka... seminggu tak bersiaran ni terasa kekok pula nak masukkan entri... serupa macam kak ummi HSH yang dapor mayanya dah lama senyap sunyi.... tup2x semalam sudah berasap semula.... kekok yer kak ummi? mari kita sama-sama meriahkan dapor maya kita semula sambil berkongsi idea, resepi dan pengalaman... jommm...!!!


Hari ini resepi mudah dari dapor gee-hut... pulut inti untuk pulihkan semangat berblogging yang semakin suam-suam kuku.... heeeee

PULUT INTI

2 cawan beras pulut direndam semalaman
1 cawan santan pekat
sedikit garam
2 helai daun pandan

Panaskan kukusan dan alas dengan daun pandan di bawahnya.  Kukus pulut selama 15-20 minit.  Angkat dan masukkan ke dalam mangkuk yang berisi santan yang dicampur sedikit. Gaul pulut hingga sekata. Kemudian kukus semula pulut yang telah digaul dengan santan tadi selama 10 minit lagi. Angkat dan kacau sekata. Siap...


Inti kelapa :
2 cawan kelapa parut putih yang agak-agak muda
1/2 cawan gula merah
2 sudu besar gula putih
2 helai daun pandan diikat
1 sudu besar tepung gandum
sedikit air

Masak dahulu gula merah dan gula putih dengan sedikit air sampai larut.Tapiskan air gula ini, masak bersama kelapa dan daun pandan. Agak kering masukkan tepung gandum... kacau sebati dan sejukkan.

Hidangkan pulut bersama inti.....untuk lebih harum bungkuskan pulut yang diletakkan intinya dengan daun pisang.......


Dah lama tak makan pulut inti, kan...
sudi-sudikan lah...


Monday, February 4, 2013

Pulut kuning rendang ayam


Salam sejahtera dan salam pagi Isnin semua... jangan lupa senyum yer mudah-mudahan dimurahkan rezeki dan awet muda selalu...  Sebuah senyuman yang tulus baik untuk kesihatan di samping ianya satu ibadah... Mari kita senyum lebar-lebar yuk.... heeeeee



Pejam celik pejam celik sudah masuk bulan Februari rupanya... anak k.gee si eQa tu siap tanya lagi... mak! lepas ni ada lagi bulan Februari tak? Adoiii... dia suka sangat bulan Februari sebab boleh celebrate hari jadi dia... dari bulan November tahun lepas sudah buat count down dan request segala bagai... nakkan pulut kuning, nak rendang ayam, nak kek coklat, nak mafin dan coklat bungkus untuk kawan-kawan sekolahnya.... siap warning awal-awal lagi nak kek coklat yang cantik tak nak yg mak buat sebab mak tak pandai deko.... anak... anak...!! kadang-kadang lucu kadang-kadang geram pun ada....  



Untuk tidak menghampakan si eQa, k.gee buatkan pulut kuning dan rendang ayam khas untuk dia bawa bekal ke kelas mengajinya... yang speselnya k.gee buat rendang ayam guna rempah Dayang Suri pemberian seorang rakan maya dari negeri jiran... biasanya k.gee buat rendang tak bubuh rempah tapi kali ini nak buat kelainan sikit... memang tidak mengecewakan, sangat sedap dan berbaloi-baloi rendang ayam tu... kami sekeluarga sangat suka dan meratah-ratah lagi... terima kasih daun keladi ya kak...  


PULUT KUNING

Bahan-bahan

1 kg beras pulut - basuh dan rendam semalaman.  Tambahkn sedikit kunyit serbuk dan 2 keping asam gelugor.

3 cawan santan - campurkan sedikit garam

Cara ;

- panaskan air kukusan dan kukus pulut lebih kurang 15 minit.
- angkat dan gaulkan dgn santan hingga sebati dan pulut lembut.
- jika suka boleh kukus sekali lagi supaya lebih tahan lama.


RENDANG AYAM
Ubahsuai dr resepi Rendang ayam harum K.Nor secubit garam

Bahan-bahan :

1 ekor ayam (dipotong kecil dan dibersihkan)
2 mangkuk santan pekat
2 batang serai (diketuk)
2 sudu cili kisar
1 bungkus rempah asli Dayang Suri
1 helai daun kunyit - dihiris halus


Bahan-bahan kisar :

1 labu bawang besar
5 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
4 biji cili padi
1 batang serai
1/2 inci kunyit hidup
1 inci halia
1 inci lengkuas

Cara-cara :

Tumiskan bahan-bahan kisar, serbuk rempah dayang suri dan cili kisar sehingga pecah minyak dan bangkit baunya.

Kemudian masukkan ayam dan gaul sebati.  Tambhakan sedikit air dan biar sehingga ayam empuk. 
Bila air sudah surut masukkan santan, garam, asam gelugor, gula dan daun kunyit hiris.  Masak sehingga kuahnya pekat.  Taburkan daun kunyit hiris dan bolehlah diangkat.  hidangkan bersama pulut kuning.


cop!! jangan mengendeng yer... sudah licin...
mmmmm... jangan lupa senyum... 0 ___ 0 



Sunday, June 26, 2011

Pulut sambal

Hari ini akak breakfast pulut tanak dengan sambal bilis.  Ini menu layan si kecik eQa tu ler... ikutkan hati malas nak makan pulut sebab orang kata makan pulut mengantuk... ye ke ? nak tahu kenapa? makanan yg tinggi karbohidrat seperti pulut, nasi dan ubi menggunakann banyak tenaga untuk proses penghadaman sebab itulah badan jadi letih dan mata mengantuk... oic faham sudah...

Tapi satu kelebihan pulut ni boleh melembut dan mencantikkan kulit... kalau tak percaya ce tengok mek2 siam tu gebus jer kulit muka diorang kan.... haaa makan beras pulut la tuh....


Pulut Sambal Bilis

1 cawan beras pulut - bersihkan dan masukkan dalm periuk.  Isikan air dan masak seperti masak nasi. 

Sambal Bilis
1 cawan ikan bilis - dibersihakan dan goreng garing

Bahan dikisar
4-5 ulas bawang merah
1 mangkuk cili kering
Garam, gula
Sedikit sos tiram
minyak

Panaskan kuali dan masukkan minyak.  Tumis bahan yg dikisar sehingga naik baunya.  masukkan garam, gula dan sedikit sos tiram.  Biarkan sehingga garing dan naik minyak.  Masukkan ikan bilis yag sudah digoreng garing tadi.  Angkat dan boleh dihidangkan bersama pulut tanak.

HAKMILIK GEE HUT
Designed by UMIESUEstudio 2015