Showing posts with label Bubur. Show all posts
Showing posts with label Bubur. Show all posts

Wednesday, June 6, 2018

Bubur gandum iftar 21 Ramadhan


Assalamualaikum...
Hari ini 21 Ramadan... Bahang Idil Fitri sudah semakin terasa kan... Anakanak pun ada yang sudah mula bercuti... meriah lah rumah berbuka bersama anak anak yg dirindui... 


Sehari dua ini k.gee tak berapa sihat... tekak terasa pahit menelan makanan... hari ini k.gee buat manisan untuk melayan tekak yang meragam... bubur gandum bersama sagu mata ikan... ada juga yang menggelarnya bubur gunting sebab dohnya digunting untuk mendapatkan bentuk comel dan senang disuap ke mulut... terasa nyaman sedikit tekak... kan!   


BUBUR GANDUM

Bahan A(doh):
1/2 cawan tepung gandum 
Air atau air pandan.
Secubit garam

Bahan kuahnya:
2 cawan santan
1/2 cawan air
Gula merah
Gula pasir
Daun pandan

Bahan C
Sagu mata ikan - rendam seketika

Cara:
1. Adunkan semua bahan A sehingga menjadi doh yang lembut. Ketepikan

2. Masukkan bahan kuah ke dalam periuk dan masak hingga mendidih. Kacau selalu supaya kuahnya tidak berbintil.  Ambil doh tadi dan cubitkan atau gunting kecil-kecil lalu dimasukkan ke dalam kuah yang mendidih. Buat sehingga doh habis. Biarkan mendidih dan doh gandum masak.

3. Akhir sekali masukkan sagu mata ikan. Kacau rata dan sedia dihidangkan.


Sedap dinikmati sejuk ataupun suam... Selamat berbuka puasa...

Saturday, April 7, 2018

Bubur jagung... setelah lama menyepi


Alhamdulillah... setelah sekian lama menyepi...dapat juga jariku yg tembam ni mengetuk keyboard walaupun meraba raba mencari huruf yg sesekali hilang dek mata yg sudah kabur pandangan... akak sudah 5 series dik... sudah tua! tapi sesekali  jiwa blogger marak menyala... cuma terkadang cahayanya malap macam pelita minyak tanah dihembus angin malam... kejap terang kejap gelap... gitulah gayanya bila usia sudah senja kan...  haha!

Jom kita layan bubur jagung... sedap tau buat minum petang... yuk!



BUBUR JAGUNG

Bahan-bahan:
2 -3 tongkol jagung manis - hiris nipis
1 mangkuk santan pekat
1/2 mangkuk air
2 sudu sagu mata ikan - basuh dan toskan
2 senduk gula putih
1 senduk gula merah
1 helai daun pandan
Secubit garam

CARA :

Sediakan periuk.  Masukkan semua bahan kecuali sagu ke dalam periuk. Masak atas api sederhana sehingga mendidih dan jagung masak. Akhir sekali masukkan sagu mata ikan, kacau seketika.  Sedia untuk dihidangkan.


Sunday, October 18, 2015

Pengat pisang tanduk


Pengat pisang merupakan menu pemanis mulut yg paling k.gee gemari terutama pisang nangka atau pisang tanduk... pisang lain kurang sikit... k.gee sukakan rasa masam-masam pada pisang nangka dan bila digigit terasa liat-liat sikit... bila disatukan dengan kuahnya yg manis dan aroma gula melaka,,, pergh..!! fengsan... bermangkuk-mangkuk masuk perut... sedap you!


Laling k.gee pulak sukakan pengat pisang yg dimakan sejuk... masukkan dalam peti ais 1 atau 2 jam dan bila hirup kuahnya terasa macam makan aiskrim... nyum2x katanya... 


PENGAT PISANG

Bahan-Bahan :

1 biji pisang tanduk (dipotong kecil)
1 liter santan
1 cawan air
1 keping gula Melaka
1/2 cawan gula 
Secubit garam
2 sudu sagu biji (basuh dan toskan)
1 helai daun pandan 


Cara-Cara:

1. Masukkan santan, gula melaka, gula dan daun pandan ke dalam periuk dan masak sehingga mendidih.  kacau2kan selalu supaya santan tidak berbintil.  

2. Masukkan pisang dan garam.  Masak seketika sehingga kuah agak pekat.  

3. Akhir sekali masukkan sagu biji. Siap.




Nah! semangkuk pengat pisang untuk awak...


Sunday, May 17, 2015

Asam gumpal


Pertama kali buat kuih ini dan pertama kali merasainya... wah! memang enak... rasa sagunya yang lembut bersama inti kacang hijau yg manis dan kuahnya yang lemak-lemak membuatkan semangkuk demi semangkuk di slrup... lebih-lebih lagi menikmatinya sebaik sahaja keluar dari peti ais... ermmm... yummy!!! 


Menurut ceritanya kuih ini popular di Kelantan dan Trengganu... di sana kuahnya ditambah halba, halia dan bawang... ada juga yg menambah hirisan nangka untuk lebih uuummph katanya... k.gee ubahsuai sikit ikut citarasa sendiri sebab k.gee lebih sukakan rasa yg lemak2 manis gitu... jom kita semak resepinya...   


ASAM GUMPAL 
(Versi Trengganu... ubahsuai ikut citarasa geehut)

4 cawan sagu mata ikan
8 cawan air panas
1 mangkuk santan
1 cm halia (k.gee tak letak)
2 ulas bawang merah (k.gee tak letak)
2 sudu kecil halba (k.gee tak letak)
1 cawan kacang hijau
1 cawan gula
Sedikit garam
Air secukupnya
Daun pandan

Cara:

1. Rebus kacang hijau hingga empuk.
2. Bila sudah agak kering tambahkan gula dan kacau rata.
3. Matikan api dan sejukkan.  Bulat2kan seperti guli dan keteikan.
4. Rendamkan pula sagu, toskan dan curah air panas mendidih. Tunggu sehingga sejuk.
5. Kemudian kepalkan sagu tersebut dan masukkan inti kacang hijau  ditengahnya.
6. Masukkan dalam kukusan yg dialas dengan aluminium foil atau daun pisang.  Kukus 15-20 minit.
7. Sediakan kuahnya pula... masukkan santan dan sedikit garam ke dlm periuk dan masak hingga mendidih.  Masukkan juga daun pandan untuk menambah aroma.  Kalu suka versi Trengganu boleh msukkn halba, halia dan bawang  
8. Akhir sekali masukkan sagu yg digumpal tadi dan kacau seketika.
9. Tutup api dan sedia dinikmati.


Sesuai juga untuk juadah berbuka puasa...
cubalah...

Saturday, March 28, 2015

Bubur Udang simple


Lamanya k.gee tidak ke udara... jemu gamaknya tetamu asyik disajikan bubur gandum... hehehe... apo nak dikato... tuan tanah sibuk bebenor... orang lain sibuk dengan tempahan kek, kuih dan segala bagai... berpeluh-peluh tapi masyuuuuk...!! kita pulak sibuk urus itu urus ini pergi ke sana ke sini... tak jugak masyuk masyuk... masyuk angin keluar asap aje daaa.... !!!


Seminggu dua ini bubur nasi sudah jadi menu wajib di dapur geehut... al maklumlah sambil melayan tekak orang sakit... macam-macam bubur yg k.gee buatkan... bubur lambuk, bubur daging, bubur pedas, bubur ayam dan kali ini bubur udang pulak... cuma udangnya pemalu sikit... menyorok dalam nasi... hehehe....   


BUBUR UDANG

1 cawan beras - rebus bersama air hingga kembang dan hancur
1 cawan santan
10 ekor udang hidup - buang kulit
2 ulas bawang putih - dihiris 
2 biji bawang merah - dihiris 
1/2 inci hali - hiris
1 kiub ikan bilis
Garam secukupnya
Daun bawang / daun sup
Sedikit minyak masak
Bawang goreng

Caranya :

Panaskan periuk dan minyak masak.  Tumis bawang dan halia yg dihiris halus sehingga naik bau wanginya.  Masukkan udang dan kacau rata.  Curahkan nasi yg sudah direbus tadi.  Tambahaa santan, kiub ikan bilis dan garam secukupnya.  Biar sehingga mendidih dan masak.  Tutup api.  Taburkan daun bawang dan bawang goreng di atasnya.  Sedia dihidangkan.  


Kalau suka boleh dihidangkan bersama sup sayur dan telur masin... sedaaap banget... orang tak sakit yang makan bertimbun-timbun.... heeee


Thursday, March 12, 2015

Bubur gandum


Pernah dengar bubur kacang anak lebah? kalau tak silap k.gee di Negeri Perak saje yang ada bubur itu... biasanya bila ada kenduri kendara mereka akan menyediakan bubur kacang anak lebah... masak bubur kacang seperti biasa dan 'dikahwinkan' dengan bubur gandum seperti yang k.gee buat ni... cuma adunan mereka lebih lembut dan dicampur dengan air pandan sebagai penambah aroma... mereka menggunakan acuan seperti acuan cendol untuk membentuk 'anak lebah' tu... k.gee tak pernah lagi mencubanya... seorang rakan lama yang berikan k.gee resepi... katanya sangat sedap dan ralit menggigit2 doh yg kenyal2 tu... Insya Allah bila ada kesempatan nanti bolehlah mencubanya... Hari ini kita layan bubur gandum versi geehut dulu yea... hehehe


BUBUR GANDUM 
Bahan-bahan A:

2 cawan tepung gandum
air secukupnya
secubit garam

Bahan B:

1 mangkuk santan (lebih kurang 1 liter)
1/2 cawan gula pasir
1/2 cawan air gula merah
Daun pandan


CARA MEMASAK :

Sediakan periuk dan satukan santan, sedikit air, daun pandan dan gula merah.  Panaskan dan kacau rata. 

Gaulkan semua bahan A dalam bekas yang sesuai, masukkan sedikit demi sedikit air sampai adunan tepung sebati dan menjadi doh yang lembut. Kemudian jemput2kan atau gentel doh tadi dan masukkan ke dalam santan dan masak sehingga kuah mendidh.



Sedapnya slrup bubur gandum...
jemputlah buat sendiri... hehehe 

Tuesday, January 27, 2015

Bubur Jagung Butir Nangka


Tenggelam timbul... tenggelam timbul.... tenggelam...tenggelam... tenggelam... ops! timbul pulak... tenggelam lagi... tak timbul timbul.... itulah nasib blog GeeHut yang sudah suram-suram cahayanya macam pelita yang sudah kehabisan minyak tanah... nak ditutup terasa sayang... ibarat di buang mati emak ditelan mati bapak... aduh mak ai..!! di mana nak cari mood rajin yea?


K.gee tabik spring lah pada teman-teman blogger yang bukan sahaja rajin memasak dan mengupdate blog setiap hari malahan boleh terima tempahan kek, kuih muih dan segala bagai... kadang-kadang tu masih mengupdate blog dalam keadaan kesihatan yang terganggu.... subhanallah.!! beruntunglah mereka dan keluarga mereka kan...


Oklah, sementara ada sedikit mood rajin ni, k.gee sajikan bubur jagung yang dicampur 'butir nangka' untuk sajian minum petang.. kata orang Kelantan butir nako... jom!


BUBUR JAGUNG BUTIR NANGKA



Bahan-bahan :

•2 tongkol jagung manis - dihiris


Bahan Butir Nangka :

4 cawan tepung pulut

sedikit kapur makan

air daun pandan

sedikit garam


Bahan kuahnya :

1-2 mangkuk santan dari sebiji kelapa

1/2 cawan gula pasir

daun pandan

sedikit gula nisan/gula merah

Sedikit sagu biji


Cara buat butir nangka:

1. Masukkan tepung pulut ke dalam mangkuk besar dan tambahkan air sedikit demi sedikit sambil di gaul rata. Buat sehingga adunan menjadi doh dan tidak melekat di tangan. tambah air ikut keperluan.

2.Bentukkan doh menjadi bulat atau bentuk seperti biji nangka.

3.Panaskan air hingga mendidih, masukkan doh yang telah digentelkan tadi... bila masak ia akan timbul... apabila dah timbul tu, terus cedokkan dan masukkan ke dalam bekas yang berisi air sejuk. Ketepikan.

4.Untuk kuahnya pula, masukkan semua bahan ke dalam periuk dan jagung yg dihiris tadi, masaklah hingga mendidih. bila dah siap bolehla dicampurkan butir nangka tadi.  Tambahkan biji sagu ke dalamnya. Sedia untuk dihidang.....


Upin dan Ipin menari nari
Ayam goreng makanan kegemaran
Jemputlah sesiapa yang sudi
Bubur jagung butir nangka k.gee sajikan...


Friday, November 7, 2014

Happy Anniversary


Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar! 
7 November 2014 hari Jumaat hari yg barakah... 22 Tahun usia perkahwinan kami....

Semoga Allah limpahkan cahaya kegembiraan, cahaya keampunan dunia dan akhirat, cahaya kebahagiaan, cahaya kasih sayang serta dikurniakan rezeki yang luas, kesihatan yang baik, akhlak yang mulia dan direzekikan anak-anak yg soleh dan solehah...


Semoga kami dapat sama-sama berpimpin tangan menuju ke Syurga yang abadi.

Amin Ya Allah...  



RESIPI BUBUR PULUT 
(Ala-ala bubur putih bubur merah)

1 cawan beras pulut

½ cawang gula merah

½ cawan gula

Sedikit garam

1 mangkuk santan

Cara :

Rebuskan beras pulut sehingga kembang. Masukkan santan, gula, gula merah dan secubit garam. Kalau suka kuahnya banyak, lebihkan santannya.  Kacau dan bila mendidih matikan api.  Hidangkan.


HAPPY ANNIVERSARY TO ME... !!





 

Thursday, July 3, 2014

Bubur Lambuk


Kalau sebut pasal bubur lambuk pastinya terbayang bubur lambuk famous dari Kampung Baru kan... Menurut ceritanya resipi bubur lambuk Kampung Baru itu sudah berusia lebih 50 tahun namun sehingga kini keenakannya tetap kekal dan menjadi igauan penduduk Kuala Lumpur dan sekitarnya sampai sanggup berhujan berpanas dan berbaris panjang demi mendapatkan sebungkus bubur lambuk popular itu...  Wah! hebat kan... 


Kali ini k.gee masak bubur lambuk versi Terengganu kegemaran encik hubby... tapi ikut selera tekak sendiri lah... versi ala kadar... hehehe

BUBUR LAMBUK

Bahan :

1 cawan beras wangi - direbus bersama air sehingga menjadi bubur
5 ekor ikan selayang ~ direbus dan diambil isinya, tumbuk
1 mangkuk santan

5 biji bawang merah ~ hiris
5 ulas bawang putih ~ hiris
1 inci halia ~ hiris memanjang
2 sudu lada hitam ~ tumbuk

Pucuk paku merah / pucuk midin
Daun kaduk
Daun kunyit
Daun kesum
Garam secukupnya
Budu (jika suka)

Cara:

Satukan santan dan ikan yg sudah ditumbuk ke dalam bubur nasi tadi.  Masak sehingga mendidih. Bila sudah mendidih, masukkan sayuran, lada hitam yg sudah ditumbuk dan garam.  Tambahkan sedikit budu.  Kacau rata.  Angkat dan bolehlah dihidangkan. 
 

Hari ini bubur lambuk Trengganu, esok bubur lambuk kampung baru pulak...
yeeeehaaa...

Wednesday, June 11, 2014

Bubur kacang Labu Labi...


Hoi bubur kacang..!
Hoi nasi goreng...!
Hoi nasi hoi bubur hoi mee siam..!

Tukang masak kerjanya senang
Pagi pagi masak bubur kacang
Campur gula hai setengah dulang
Bila makan rasanya trang tang tang


Memang manis memang lemak
Kalau suka makan lah banyak-banyak
Bubur kacang sudah lah terpuji
Seantero dunia seluruh negeri

Hoi bubur...

Hoi bubur...

Hoi bubur...

Hoi number one..!!!
 

Ha ha ha ha haaa.... terkenangkan kisah lucu orang gaji Pak Haji Bakhil dalam cerita Labu Labi lakonan P.Ramlee dan M. Zain... Filem P.Ramlee memang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas... walaupun sudah lebih setengah abad tetapi tetap menghiburkan setiap kali menontonnya... kan?


Jom slrup bubur kacang....
resipi boleh selongkar SINI yer...


Wednesday, April 23, 2014

Jagung cameron highlands


Taraaaaa.... cak!! bertemu lagi di dapor maya gee-hut.... apa khabar cik-cik kak di luar sana tu...? masih ingatkah pada diriku ini...? akak di sini asyik asyik bizi... asyik asyik bizi sampai berhabuk dapor, kan... bila sudah lama tak menjengok ke dapor mulalah terasa kekok dan kering kontang idea... nasib baik encik hubby beli jagung mutiara dari Cameron Highlands.... tup! tup! tetiba timbul idea nak membubur dan menyucur.... dua-dua pon memang kegemaran k.gee dan keluarga.... sedaaaap tau....  
 

Layan bubur jagung dan cucur jagung dulu yer... tengah perah otak ni untuk next N3... jom layan..!!

BUBUR JAGUNG

Bahan-bahan :-

4-5 tongkol jagung mutiara Cameroh Hihglands
500 ml santan
1 biji keledek - kupas kulitnya dan potong dadu kecil
1 sudu besar sagu mata ikan - basuh dan toskan
1 helai daun pandan
1 cawan gula (boleh kurangkan jika tidak suka manis)
2-3 sudu besar gula merah
sedikit garam

CARA MEMBUAT :

1.Masukkan santan, jagung, keledek, daun pandan, gula, gula merah dan garam dalam periuk.

2.Masak sehingga kuahnya mendidih.  Sentiasa kacau supaya tidak berbintil.

3. Masukkan sagu dan tutup api. 

4. Ok siap untuk dihidangkan.

(* k.gee sengaja campurkan keledek supaya kuahnya pekat sedikit kerana jagung mutiara biasanya tidak berkanji)


CUCUR JAGUNG

Bahan:

2 Tongkol jagung ~ hiris nipis isinya
1 cawan tepung gandum
1 labu bawang besar - hiris nipis
Udang hidup/ikan bilis
2 biji cili besar - hiris nipis
Beberapa tangkai daun kucai
Garam
Air secukupnya
Minyak utk menggoreng

Cara:

Masukkan semua bahan kecuali minyak dalam satu bekas, masukkan air sedikit2 dan gaul mengikut kepekatan yg dikehendaki. Lebih kurang macam buat cocodok tu..kemudian panaskan minyak dan bolehlah digoreng. senang kan!

 

K.gee buat bubur jagung seperiuk besar... sengaja sejukkan dalam peti ais dan nak slruuuup macam aiskrim... waaaa.... sedaaaapnyaaa....


Nah! pilihlah nak yang mana satu... yang pedas atau yang manis...
dua-dua pon besssst.....

Tuesday, January 7, 2014

Pengat labu



Assalamualaikum... sedar tak sedar sudah seminggu kita berada di tahun baru 2014... Anak-anak sudah kembali ke asrama dan memulakan penggal persekolahan yang baru... suasana di rumah jadi sunyi sepi tanpa riuh rendah suara anak2... periuk belanga di dapur pun tidur lena jer tanpa gangguan... huuuuu sedih la pulak...   


Bila time nak ke dapur mulalah terkenangkan selera anak-anak... ada yg gemarkan ayam, ada yang gemarkan ikan, ada yg hendakkan lauk pedas ada yg suka menghirup sup... walaupun mulut emak berleter pot pet pot pet tapi tangannya kencang juga buatkan lauk segala bagai permintaan anak-anak... seronok tengok anak-anak berselera makan sampai menjilat pinggan jari kan...  Hari ini bila tinggal berdua nak memasak pun malas... layan pengat labu aje laaa.....



PENGAT LABU

Bahan-bahan :

Buah labu secukupnya (dipotong kiub)
Santan cair
Santan pekat secukupnya
Gula pasir
Gula merah 
Sedikit garam
Daun pandan (disimpul)

Cara-cara : Satukan santan cair, gula pasir, gula merah dan daun pandan di dalam periuk. Jerangkan dengan api perlahan. Kacau sentiasa. Masukkan buah labu, santan pekat dan sedikit garam. Kacau lagi hingga labu empuk/lembut. Tutupkan api dan hidangkan panas-panas. 
 

Labu.. oh labu.... !!!


Friday, January 3, 2014

Bubur putih bubur merah


Salam Jumaat salam penuh keberkatan...

Abdullah bin Salam menceritakan:

"Ketika Nabi sedang duduk, aku berkata kepadanya: Di dalam kitab Allah ada diterangkan bahawa pada hari Jumaat terdapat waktu di mana jika seorang hamba yang mengerjakan solat, kemudian memohon sesuatu kepada Allah, pasti Allah akan makbulkan. Beberapa saat kemudian Rasulullah bersabda kepada ku: Benar. Lalu aku bertanya: Bilakah waktunya itu? Baginda kemudian menjawab: Di penghujung waktu siang hari. Aku berkata: Itu bukan waktu solat. Baginda menjawab: Benar, sesungguhnya jika seorang Mukmin itu menunaikan solat, kemudian ia duduk menantikan solat berikutnya maka ia terhitung sedang mengerjakan solat."

Sama-samalah kita berusaha mencari waktu-waktu yang mustajab Doa, dan mintalah apa sahaja kepada Allah, kerana dialah yang maha Kuasa, maha Mendengar, dan maha Mengasihani...



K.gee diperkenalkan dengan bubur putih bubur merah ini oleh seorang rakan yang berasal dari Johor... pertama kali menikmatinya... wah! rasanya yg manis dan lemak terus jatuh chenta... benar2 sedap... menurut rakan k.gee bubur ini biasanya disediakan sempena hari yg istimewa seperti khatam al Quran, doa selamat, ulangtahun dan mendapat cahaya mata... bubur ini disediakan sebagai tanda kesyukuran dan diberi makan kepada jiran tetangga dan sanak saudara... Kalau nak sediakan untuk minum petang bersama keluarga pun boleh...  jom layan...!



BUBUR PUTIH BUBUR MERAH 

1 cawan beras pulut
1/2 cawan beras biasa
½ cawang gula merah
½ cawan gula
Sedikit garam
1 mangkuk santan

Rebuskan beras dan beras pulut sehingga kembang. Masukkan santan. Bahagikan kepada 2 bahagian. 1 bahagian di campurkan gula merah dan sedikit gula dan satu bahagian lagi dibiarkan warna asal dan ditambahkan sedikit garam. Bila nak makan, sendukkan keduanya ke dalam mangkuk dan sedia dinikmati...


nyum nyum.... sedaappp...

Thursday, October 10, 2013

Bubur gunting..?


"Mak...! ini bubur apa? bubur gunting...." tak pernah dengar pun... ada gunting ke dalam bubur? tanya si eQa dengan dahi berkerut... bukan gunting la sayang tapi tepung yang digunting2 jadikan bubur....macam bubur caca tu... caca tu apa mak? tanya eQa lagi... hisy... kamu ni... mak sudah mula naik angin... Bubur caca dengan bubur gunting tu makanan zaman emak kecil2 di kampung dulu... makanan nostalgia la kiranya... jadi, memang patutlah budak2 sekarang tak mengenalinya... sabar je laaaa.....


Itu hakikatnya kan.... bila zaman berlalu, banyak perkara pun turut berubah dan diinovasikan... termasuklah makanan dan  resipi2nya... dari makanan tradisional boleh kita pelbagikan idea dan persembahkan sebagai hidangan popular di serata alam... kalau tak silap k.gee bubur gunting ini berasal dari Indonesia cuma bahan yang digunakan ada sedikit kelainan.... beberapa resipi di Indonesia menggunakan tepung pulut dan tepung sagu berbanding bubur gunting k.gee ini menggunakan tepung gandum sahaja dan k.gee campurkan sedikit jagung manis untuk menambahkan perisa dan keenakannya... Apa pun hidangan pemanis mulut seperti bubur ini memang makanan kegemaran k.gee... sangat sangat suka!!



BUBUR JAGUNG & GUNTING

BAHAN-BAHAN A


2 cawan tepung gandum
air secukupnya
secubit garam

BAHAN B :

1 mangkuk santan
1/2 cawan gula pasir
1/2 cawan air gula merah
Daun pandan

Bahan lain :
2 tongkol jagung manis (dihiris dan ambil isinya)

CARA MEMASAK :

Gaulkan semua bahan A dalam bekas yang sesuai, masukkan sedikit demi sedikit air sampai adunan tepung sebati dan menjadi doh yang lembut. Kemudian dicanai pada ketebalan yang sesuai kemudian dipotong kecil.  Emak k.gee dulu hanya cubit2kan doh tepung dan gentel2kan jadi bulat. Masak air dalam periuk dan bila air dah mendidih mengelegak boleh la dimasukkan semua kepingan tepung ni dan bila semua kepingan tepung dah timbul boleh ditos dan ketepikan dulu .

Masukkan santan dalam periuk bersama gula pasir, gula merah, daun pandan dan sedikit garam.  Masukkan jagung yang dihiris tadi.  Masak sampai kuah mendidih.  Sekali-sekala kacau supaya tidak pecah minyak.  Bila sudah mendidih, masukkan tepung gunting tadi dan kacau.  Siap dan sedia dihidangkan.



Taraaa.... jom slruuuup... 


HAKMILIK GEE HUT
Designed by UMIESUEstudio 2015