Showing posts with label Ikan. Show all posts
Showing posts with label Ikan. Show all posts

Sunday, September 16, 2018

Kerabu ikan belimbing buluh

Gambar1

Gambar 2


Apa komen anda tentang Gambar1 dan Gambar2...

Gambar 1 - guna kamera DSLR
Gambar 2 - baru nak belajar guna henfon.. tapi masih belum pandai mengedit

Sebenarnya sekarang k.gee sedang berlatih tubi menggunakan henpon untuk shoot gambar... masih terkial-kial lagi ni... tambah pulak mata pun dah rabun maklumlah sudah kategori 5 series... hehe... kadang-kadang gambar nampak 'sharp' dan menarik... ada masanya gambar blur dan hodoh... bukan senang kan nak 'mencantikkan' gambar... satu pose pon sudah kena snap berpuluh malah beratus kali... sama jer kalau guna DSLR... cuma guna henpon lebih ringan dan senang... masak, shoot dan post...apa-apa pun sukasuka jer...kaan! 

Ok... resepi kampung hari ini... Kerabu Ikan Belimbing Buluh... ini belimbing buluh dari rumah emak k.gee di kampung... bergayut gayut buahnya.. geram

























KERABU IKAN BELIMBING BULUH

Bahan-bahan :  

10 biji belimbing buluh 
2 ekor ikan goreng - ambil isinya
10 bij cili padi - kalau suka pedas boleh tambah lagi
garam secukup rasa 

Cara-cara :-   

Hiris belimbing. tumbuk cili padi hingga hancur, masukkan ikan tumbuk pecah2. masukkan belimbing, tumbuk pecah2 juga. tambah garam secukup rasa. gaul sebati dan boleh lah dihidangkan. 


16 September 2018 Selamat Hari Malaysia...
Semoga negara kita terus maju, aman makmur dan sejahtera hendaknya... 

P/s  Jangan komen gambar henpon tak cantik yer...hehe saya budak baru belajar

Thursday, July 12, 2018

Gulai Terung Ikan Masin


Assalamualaikum... 

Salam pagi Khamis... ada yang masih berpuasa 6 ke..? Alhamdulillah... k.gee sudah selamat beraya semalam dengan menu kampung style... gulai lemak terung bulat bersama ikan masin... lauk peberet ni taw... tak toleh kiri kanan dah... berkali-kali suap nasi ke mulut... sesekali gigit manja si tulang ikan masin... pergh! memang heaven ! 



MASAK LEMAK TERUNG IKAN MASIN

BAHAN-BAHAN :

4 biji terung bulat - dibersih serta dipotong empat
100 gm tulang ikan talang masin  
2 cawan santan pekat
1 cawan santan cair
1 keping asam gelugor  
1 helai daun kunyit – hiris halus
Garam secukup rasa

Bahan untuk ditumbuk :

5-6 biji cili padi
1 inci kunyit hidup
2 biji bawang merah

Cara-cara :

Masukkan semua bahan ke dalam periuk dan masak sehingga mendidih dan terung empuk.  Kacau selalu supaya kuahnya tak pecah minyak.  Akhir sekali bila kuahnya sudah agak pekat taburkan daun kunyit dan tutup api.  Sedia dihidangkan bersama nasi panas.


Nah semangkuk...! buat berbuka puasa malam nanti...


Sunday, July 8, 2018

Nasi impit sambal ikan


Tak habis-habis lagi beraya... ? hamboiii.... 
Belum lagi kak... sanak saudara kan ramai... utara selatan timur barat semua ada... sahabat handai lagi... ipar duai lagi.. saudara belah suami lagi.. haa! itu sebabnya beraya sakan sampai 30 hari taw... ha..ha..ha..! 


Nasi impit sambal ikan ni juadah popular di sebelah Pantai Timur terutama Terengganu dan Kelantan... sambal ikan ni ala-ala serunding cuma rasanya lebih manis kerana dimasukkan gula kerek atau nisan dalam resepinya... maklumlah orang Pantai Timur memang gemarkan masakan yang manis-manis semanis orangnya... ahaks...



Sambal Ikan aka serunding

1 kg ikan selayang/ kembong -  rebus, buang tulang dan tumbuk
1 biji kelapa parut - goreng kekuningan dan tumbuk
1 sudu cili kisar
gula melaka/ gula nisan
garam dan gula

Bahan dikisar

10 ulas bwg merah
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
2 ulas bawang putih
5 batang serai

Cara2

1. Panaskan kuali dan tumis bahan2 kisar.
2. Masukkan ikan dan kelapa yg sudah ditumbuk hancur.
3.Masukkan juga cili kisar. Kacau rata
2. Tambahkan garam dan gula secukupnya.  kacau rata menggunakan api sederhana sehingga kering.  
3. Boleh hidangkan bersama nasi impit.


Selamat Hari Raya...
syukur alhamdulillah... selesai menunaikan puasa sunat di bulan Syawal...

Monday, June 25, 2018

Percik ikan kembung


Salam 11 Syawal 1439H... rasanya masih belum terlambat untuk mengirimkan ucapan Salam Aidil Fitri buat  sanak saudara, sahabat handai rakan taulan dan umat Islam di mana jua berada... Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin... 

Sudah lebih seminggu asyik layan juadah hari raya kan... ketupat lemang, rendang daging, ayam dan sebagainya.. hari ini tekak terasa nak makan ikan pulak... cuma di musim raya ini agak susah dapat ikan segar... layan apa yang ada aje lah yek  


PERCIK IKAN KEMBUNG    

Bahan-bahan :
3 ekor ikan kembung segar
1 biji kelapa ~ diambil pati santan
2 batang serai ~ dititik
2 keping asam gelugor
2 sudu besar cili kisar
Garam dan gula secukup rasa

Bahan untuk dikisar :
4-5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1 inici halia

Cara-cara :
Mula-mula sediakan kuah percik.  
Masukkan bahan kisar berserta santan ke dalam kuali.  Tambahkan serai, garam, gula dan asam gelugor.  Masak dengan api sederhana sehingga kuah pekat.

Sementara kuah pekat, ikan dibakar hingga separuh masak.  Bila kuah agak pekat sesuaikan rasanya dan angkat.

Lumurkan atau percikkan kuah atas ikan dan bakar. Ulang bakar pada sebelah lagi. Buatlah beberapa kali hingga kuah melekat pada ikan.

Bila masak bolehlah dihidangkan.

Sunday, April 8, 2018

Nasi Ulam ala Utara


Selamat berhujung minggu... Jom ke Pasar Tani...kata Abang Haji... sejak semalam lagi tekak ni memang teringin nak makan nasi ulam... kebetulan pulak sudah lama kami tak pergi ke pasar... maklumlah bila tinggal berdua ni makan minum pon ala kadar saje... tambah abang haji sedang berdiet... mak aji tak larat nak berdiet.... bila pedih perut godek nasi goreng la...hehe! 

Sesampai di Pasar Tani, hujan pulak turun tapi taklah lebat sangat... payung tak dibawa... terus saje secepat kilat kami meluru ke tempat makcik menjual sayur kampung... capai beberapa jenis ulaman yang dikehendakki dan terus berkejar ke kereta... bahan-bahan lain terpaksa beli di kedai berhampiran rumah... hujan semakin lebat... mujur kami selamat sampai ke rumah... walaupun bahan2 untuk nasi ulam tidak lengkap lagi tapi tak mengapalah... cukuplah apa yg ada tu... insyaAllah berkat air tangan isteri tercinta sedaplah nasi ulam tu nanti... kata bang haji sambil menjeling isteri di sebelah... kembang kempis hidung mak aji tau kena puji.... hoyay!




NASI ULAM  ala UTARA (Geehut style)

Bahan-bahan:

1 mangkuk nasi putih
2-3 ekor ikan selayang
Sedikit ikan masinkurau - digoreng
1 helai daun kunyit
1-2 batang serai
3 ulas bwg merah
2-3 biji cili padi - dihiris
1 inci lengkuas muda
1 inci halia
2 sudu kerisik

Bahan ulaman:
Daun selom, daun serai kayu, pucuk gajus, daun selasih, bunga kantan dan daun ulaman lain yg digemari

CARANYA:

1. Sediakan nasi putih di dalam mangkuk besar.  Ketepikan.
2. Bahan ulaman dihiris atau diracik halus.
3. Serai, bwg kecil, halis, lengkuas juga dihiris nipis.
4. Ikan selayang dibersihkan dan goreng sehingga garing.  Kemudian ambil isinya dan tumbuk sehingga hancur.
5. Masukkan semua bahan yg dihiris ke dalam mangkuk nasi tadi dan gaulrata.
6. Masukkan ikan goreng dan ikan masin yg ditumbuk, kerisik, garam dan hirisan cili padi.
7. Sedia dinikmati bersama kuah asam rebus ikan atau daging bakar.



Kata kawan mak aji, orang utara makan nasi ulam sama ikan goreng atau kuah asam... ye lah... memang sedap... cubalah...



Wednesday, February 28, 2018

Bawal goreng rangup


Pejam celik pejam celik... rupanya sudah berada di hari terakhir bulan Februari 2018... alangkah pantasnya masa berlalu... kalaulah ada tangan ajaib mahu rasanya menolak jarum jam mengundur  supaya jauh lagi perjalanan untuk sampai ke ambang jubli emas... haha! lupakan saje angan-angan untuk terus muda... harus terima kenyataan bahawa umur sentiasa berjalan ke hadapan kan.. hehe... gurau je... 

Apa agaknya menu makan tengahari ini...? ayam ke.. ikan ke... seafood ke... atau sedang berdiet makan sayur dan buah sahaja... apa-apa pon ambillah makanan yang sihat dan berkhasiat ye...

Lauk k.gee hari ini...anak ikan bawal putih digoreng garing... ikan disalut dengan sedikit rempah dan digoreng deep fry... memang rangup... kalau suka boleh dicicah sama kicap cili padi... meratah pon sedap...  Jom dapatkan resepinya di sini yea.... 101 Resipi Sajian Hati ke Hati... 



boleh dapatkan di Popular Bookstore seluruh negara...  

Tuesday, January 16, 2018

Emak rindu lagi...



Salam pagi Selasa... sekelip mata sudah pertengahan bulan Januari... 16 Januari 2018

Agak sayu pagi ini... setiba di tempat kerja, k.gee singgah beli kuih tepung pelita kuih peberet si bongsu... sengaja beli lebih kononnya nak bawa balik petang nanti untuk dia... tetiba... ops! kan adik sudah masuk asrama... mana mungkin kuih ini untuk dia... Ya Allah..macamana boleh terlupa ni... ! baru dua hari adik masuk asrama emak sudah rindu rinduan... Semoga Allah permudahkan urusanmu di asrama ye sayang... jaga diri baik baik... jaga pergaulan...jaga makan minum... jangan memilih sangat nanti lapar... mak sentiasa mendoakan yang terbaik buat adik... 

Ok lah... menu hari ini ikan tenggiri masak lemak berlengkuas... k.gee kongsikan gambarnya... resepinya boleh dapat di sini yea
V
V
V
V 


Jom dapatkan buku resipi 101 Sajian Hati ke Hati di kedai buku Popular seluruh Malaysia...


Sunday, January 22, 2017

Patin Jerantut segar dari ladang


Ikan patin sangat popular di negeri Pahang terutama bila dimasak tempoyak... pheeww..! memang mabeles... 3,4 pinggan lah jawabnya bertambah-tambah makan nasi... 

Anak-anak k.gee gemarkan ikan di bahagian perutnya yang lembik dan berlemak... berebut-rebutlah masing-masing hendakkan bahagian yg diidamkan... si ayah pulak awal-awal lagi sudah 'booking' tang kepala... suka sangat dia dapat menggigit dan mencicip tulang di bahagian pipi ikan... bahagian ekor sudah pasti jadi pilihan emak... biasalah... emak akan rasa bahagia dan puas hati bila lauk yg dimasaknya menjadi rebutan dan menawan selera keluarga... kadang-kadang dapat tengok suami dan anak-anak makan pon sudah mengenyangkan perut emak... syukurlah  


Ikan patin fresh sudah pasti menjadi pilihan... biasanya k.gee akan membeli ikan patin di Pasar Tani Kuantan atau Temerloh... hari ini k.gee bernasib baik dapat ikan patin segar dari Taman Negara Jerantut... Subhanallah...! sedap sungguh isinya... lembut, manis dan tidak berlemak... bila digandingkan pula dengan tempoyak durian kampung dari dusun arwah bapa mertua, pergh! bertambahlah enaknya... tak sedar licin seperiuk besar nasi dikerjakan kami sekeluarga... hahaha...!


Anak k.gee si eQa pula gemar menghirup kuah tempoyak... biasanya dia akan ceduk kuah berlinang ke dalam pinggannya... selepas habis disuapnya nasi dan ikan, ditonggengkan pinggan untuk menghirup kuah tempoyak yg manis dan pedas tu... kadang-kadang dituangnya berkali-kali kuah ke dalam pinggan sambil menjilat kuah dihujung jarinya... 'ermmmm sedapnya... esok buat lagi ya mak... rayu si anak bongsu k.gee... baiklah sayang...


MASAK TEMPOYAK IKAN PATIN

1 kg ikan patin segar - bersihkan dan potong 3 bahagian
6-8 biji cili padi - kalau suka pedas boleh tambah
2 inci kunyit hidup
1/2 cawan tempoyak
1 helai daun kunyit - siat siatkan
Garam dan sedikit gula

Caranya :
Tumbuk lumat kunyit hidup dan cili padi.  Ambil tempoyak dan gaulkan bersama 
bahan tumbuk ini.  Kemudian keluarkn dari lesung dan masukkan ke dalam periuk. 
Masukkan ikan patin, daun kunyit, garam dan sedikit gula. 
biarkan mendidih dan ikan masak.


Kalau ada yang berhajat nak rasa ikan patin fresh dari Taman Negara Jerantut, silalah singgah ke fb Pengusaha Ikan Patin Sangkar... k.gee tolong promokan aje... barang baik, kaan... hehe


Thursday, January 7, 2016

Asam pedas pari versi Melaka


Asam pedas adalah menu faveret famili k.gee... paling kurang seminggu sekali akan ada lauk asam pedas disajikan... sama ada asam pedas ikan atau ayam... kali ini k.gee mencuba resepi asam pedas ala Melaka dengan sedikit ubahsuai ikut citarasa k.gee. Asam pedas Melaka ada kelainan sedikit kerana ianya lebih berempah dan pekat kuahnya... Biasanya kalau ke Melaka k.gee tidak akan melepaskan peluang menikmati sajian popular ini...  



Asam pedas pari ala Melaka

BAHAN-BAHANNYA :-)
700 gram ikan pari
1 biji terung ungu saiz besar (kalau kecik, guna 2 biji) - k.gee tak letak
20 biji tomato ceri (atau 2 biji tomato biasa)
2 batang serai, diketuk
1 kuntum bunga kantan, belah 2
1 genggam daun kesom
1 3/4 senduk nasi cili kisar
3/4 camca teh jintan kasar*
3/4 camca teh jintan halus*
1/2 camca teh lada hitam*(*goreng tanpa minyak, kemudian tumbuk halus)
1 kiub ikan bilis (optional)
1 camca besar pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci belacan

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
3 biji bawang merah, hiris
1 ulas bawang putih, hiris
1/2 camca teh halba
1 tangkai daun kari

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan pari dipotong pada saiz sederhana, perap dengan jus limau nipis selama 15 minit, kemudian cuci bersih dan toskan. Terung dibelah 2 kemudian potong 3 setiap belahan, rendam. Tomato di belah 4 setiap 1 (kalau guna tomato ceri tak perlu belah). Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan atau lebih sedikit). Tumis bahan2 tumis dan serai hingga harum. Masukkan bahan2 kisar halus dan masak sekejap. Tambah cili kisar, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.
  3. Masukkan bahan tumbuh halus dan tambah pes asam jawa dan kacau rata. Tuang air secukupnya (anggaran 1 liter). Biar mendidih. Tambah ikan, kiub ikan bilis (jika guna) daun kesom dan bunga kantan. Kemudian masukkan terung. Masak hingga terung lembut.
  4. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Akhir sekali masuk tomato ceri, masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain...


Sedap kan... layan sama nasi panas dan telur dadar



Wednesday, November 11, 2015

Laksam ala kadar


K.gee bukanlah rajin sangat buat laksam... lagipun hanya k.gee berdua yg gemar menu Kelantan ni, anak-anak langsung tak menjamah pun sebab mereka tidak sukakan ulam-ulaman... tapi bila hubby teringin laksam air tangan isteri buat kan jugalah... kebetulan sekarang musim ikan selayang... k.gee beli lebih untuk buat kuah laksam dan selebihnya goreng buat lauk makan tengahari... 


LAKSAM

3 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
5 cawan air suam (3 air mendidih + 2 air biasa)
1/2 sk garam

Kuah :
1 kg ikan selayang - rebus dan ambil isinya
1/2 kg santan
3-4 biji bawang merah
2 ulas bwg putih
1/2 inci halia
1 sudu besar lada hitam - tumbuk
Garam dan gula secukup rasa
Asam keping
Air 

Cara buat laksam: 
Gaulkan semua bahan-bahan. Sapukan tudung periuk dengan sedikit minyak masak-utk mengelak dari melekat. Ambik sedikit adunan dan letakkan di atas tudung periuk. Kukus sampai masak.

2.Bila dah masak, keluarkan. Biarkan sekejap sebelum digulung- supaya laksam kelihatan licin dan cantik. Sementara tu letaklah sedikit adunan ke atas tudung periuk lain dan kukus sampai masak. Ulang sampai habis

3.Untuk kuah: kisar isi ikan, halia, bawang putih, bawang merah dan lada hitam. Kemudian masukkan ke dalam periuk bersama santan.  Masak sehingga agak pekat.

4.Untuk cili: cili merah tumbuk dgn belacan,tambah garam skit dan perahkan limau.
 
5. Ulam-ulaman yg digemari



Seronok kan bila suami puji masakan isteri... bangga you..!


Sunday, November 1, 2015

Ikan cencaru belah belakang


Dulu semasa tinggal di asrama, ikan cencaru adalah menu paling tidak digemari... kononya isi ikan keras dan tak sedap sehingga diberi gelaran ikan jaket... ramai yang sanggup berlapar bila makcik kantin menyediakan lauk ikan cencaru goreng atau masak kicap...

Namun bila masa berlalu dan berubah zaman.... tak disangka rupanya ikan jaket jadi lauk kegemaran... bakar atau goreng 'bodo' aje pon sedap...cicah sambal belacan atau kicap lada...  kalau rajin buatkan sambal gaul sama kelapa dan sumbatkan belakang ikan cencaru tu.... memaaaang sedaaap...!!! 



RESEPI IKAN CENCARU BELAH BELAKANG

Bahan-bahan:-

Ikan Cencaru yang di bersih kan dan di belah belakang,
1/2 biji kelapa parut.*
1 inci kunyit hidup *
1 biji bawang besar *
6 biji cili api *
3 biji cili hidup *
Garam dan gula secukup rasa *
Air Asam Jawa

Cara-caranya :- 

Lumurkan ikan cencaru dengan garam dan kunyit.
Sementara tu sediakan bahan bahan untuk di sumbat.
Bahan-bahan bertanda * di tumbuk sehingga halus.  
Perah kan air asam jawa. Gaul rata.
Sumbat kan ke dalam ikan cencaru tadi.
Panaskan minyak dan goreng.  Kalau nak bakar pun boleh


Siapa kata ikan cencaru tak sedap... rugi wooo...


p/s:  ops...abaikan typo error tu yea... dah tua....hik2x


Sunday, August 9, 2015

Gulai ikan senangin... rindunya


Sejak bermulanya musim raya, baru hari ini k.gee dapat meluangkan masa berada di rumah sambil memasak lauk favourite... menu ikan lah makanan kegemaran k.gee... haha... Maklumlah duduk di Pantai Timurlah katakan.. Musim raya selalunya ayam, daging, rendang dan segala bagai mee dan kuih muih yang menjadi juadah istimewa buat tetamu... jarang sekali hidangan berlaukkan ikan disajikan... Itulah yg buat terasa rindu nak makan ikan tau... 


Hari ini terubat rasa rindu bila 'jumpa' ikan... nampak saja ikan senangin dijual di pasar pagi tadi terus rembat 2 ekor yg sederhana besar... seekor dibuat gulai lemak dan seekor lagi digoreng begitu saja... sedapnya meratah panas-panas...lemak dan lembut... pergh...puas hati mak...!


GULAI LEMAK LENGKUAS IKAN SENANGIN 

1 ekor ikan senangin (dibersihkan dan dikerat 3)
1 cawan santan pekat
2-3 sudu minyak masak
1 batang serai (diketuk)
1 helai daun kunyit muda (hiris halus)
Garam
Asam keping

Bahan ditumbuk/kisar:

5 biji cili padi
2 ulas bawang merah
1 inci kunyit hidup
1 inci lengkuas

Cara :

Panaskan minyak dan tumis bahan yg dikisar sehingga naik minyak.  Masukkan serai, ikan dan kacau rata.  Masukkan santan, garam dan asam keping.  Boleh tambakan sayur seperti kacang panjang, timun atau terung jika suka. Boleh juga tambahkan sebiji buah tomato... Biarkan sehingga mendidih dan agak pekat. Taburkan daun kunyit yg dihiris halus.  Kacau dan sedia utuk dihidangkan.  


Jemput makan ikan....

Wednesday, February 4, 2015

Ikan kerisi kicap


Menu biasa-biasa saja untuk makan tengahari ini... menu yang cepat dan ringkas... namun tetap berselera dan bertambah-tambah nasi... hehehe 


Seperti biasa singgah rumah Cik Google dulu sebelum ke dapur memasak... kali ini terpikat resipi Ikan Bawal Kicap Pedas dari dapur CMG... cuma ubahsuai serba sedikit ikut selera tekak GeeHut... Che Mat guna ikan bawal k.gee ada ikan murah je... hihihi... Minta izin copy paste resipinya ya Che Mat... Terima kasih daun keladi...ahaks



IKAN KERISI MASAK KICAP PEDAS

BAHAN-BAHANNYA :-)

2 ekor ikan bawal hitam bersaiz sederhana (K.gee guna ikan kerisi...)
1 biji bawang besar, hiris bulat dan leraikan
4 ulas bawang putih diketuk
1 inci halia, hiris 3 dan diketuk
1 batang leek, kerat pendek dan rendam
1 biji cili merah, hiris serong memanjang
1 biji cili hijau, hiris serong memanjang
1 camca besar cili kisar
1/3 camca teh lada sulah
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
7 camca besar kicap lemak manis JALEN
1/4 camca teh cuka makan JALEN
1/2 cawan air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan bawal disiang, cuci bersih dan kelar2 sedikit. Lumur dengan sedikit garam dan serbuk kunyit, kemudian goreng hingga masak. Angkat dan ketepikan.
  2. Panaskan kurang lebih 2 camca besar minyak. Masukkan kayu manis, bunga lawang, bawang putih dan halia, tumis hingga harum. Tambah cili kisar dan tumis hingga cili garing. Masukkan bawang besar, leek (toskan), cili merah dan cili hijau. Kacau rata.
  3. Tambah kicap dan air, masukkan juga cuka makan. Kacau dan masukkan serbuk lada sulah. Gaul rata dan masuk ikan. Gaul perlahan dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain..


Jemput...



HAKMILIK GEE HUT
Designed by UMIESUEstudio 2015