Wednesday, January 29, 2014

Kurma Daging Berkerisik


Pertama kali k.gee memasak lauk kurma atau kormak bahasa pasarnya... biasanya makan kurma di majlis kahwin atau kenduri kendara... entah macamana tetiba teruja bila makan kurma ayam masakan si Rozila rakan sepejabat k.gee untuk bekalan anaknya ke sekolah... walaupun tak pedas namun berselera pulak kami berdua makan... balik dari pejabat petang itu terus k.gee ke pasar beli daging dan rempah kurma Adabi... 


K.gee ubahsuai sikit resipi kurma dari Rozila... k.gee tambahkan kerisik dan untuk lebih kaww k.gee kisarkan beberapa biji cili padi hijau... wah! semerbak aroma lauk kurma k.gee... minta maaf yer orang kampung k.gee sedekah bau saje lah... hehehe... 

 

KURMA DAGING BERKERISIK

Bahan-bahan :

1 kg daging - potong kecil dan bersihkan
1 mangkuk santan pekat
1 mangkuk air
2 biji bawang besar - potong empat
2 biji ubi kentang
2 biji tomato
Beberapa biji lada hijau
2 sudu kerisik
1 paket rempah kurma - bancuh dengan sedikit air
Rempah penumis - kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih
Air asam jawa
Garam secukupnya

Untuk dikisar :

10 ulas bawang putih
1 inci halia
3-4 biji bawang merah
5-6 biji cili padi hijau

Cara:

1.  Panaskan periuk dengan sedikit minyak dan tumis rempah penumis.
2.  Masukkan bahan-bahan kisar dan kacau. Masukkan pula rempah kurma yang dibancuh dengan sedikit air.  Biarkan garing sedikit dan bangkit baunya.  
3.  Masukkan daging dan gaul rata.  Tambahkan sedikit air dan biar sehingga daging empuk/lembut.
4.  Bila daging sudah lembut, bolehlah ditambahkan santan, air asam jawa, garam dan gula.  Juga masukkan kentang dan lada hijau.
5.  Biarkan merenih dan pekat sedikit baru masukkan kerisik, tomato dan bawang besar yg dipotong empat.
6.  Sesuaikan rasanya dan bolehlah dihidangkan bersama nasi kegemaran.

K.gee gandingkan bersama nasi putih, acar timun dan ikan masin talang...
sedaaaap....


Tuesday, January 28, 2014

Paung goreng


Selamat pagi semua... senyum-senyum selalu yer supaya hidup kita lebih ceria... barulah ada semangat nak buat kerja kan... hehehe... senyum sokmo kata oranag Terengganu kite... apa khabar mek-mek Terengganu di sana tu...  sihat-sihat hendaknya terutama yang rajin berkebun tu... pepagi lagi sudah keluar peluh sambil berbudi pada tanah... syukur alhamdulillah dapat makan sayur segar dan boleh jimat belanja, kan... 


Pernah makan kuih paung goreng? Kuih ini popular di Terengganu dan di Kuantan pun ada banyak dijual terutama hidangan minum petang bersama satar dan pulut panggang... ada juga yang memanggilnya kuih bom sebab biasanya kuih ini meletup apabila digoreng... kata orang petua mengelakkan dari meletup campurkan sedikit kelapa dan tepung gandum dalam dohnya dan digoreng dengan api perlahan... kuihnya lebih sedap dan rangup... jom kita cuba...


PAUNG GORENG

Resipi : Chef hanieliza
Olahan rasa : Gee-hut

Bahan2:

2 cawan tepung pulut
3 sudu makan tepung gandum
1 sudu kelapa parut putih (k.gee tambah)
1 cawan air
sedikit garam
minyak untuk menggoreng terendam

Bahan Inti

5 ekor ikan selayang
5 ulas bawang merah [hiriskan]
1 cawan santan
3 cm halia [hiris]
1 s/k halba
1 sudu kecil lada itam- tumbuk
1 sudu cili kisar (k.gee tambah)
1 s/k gula
garam secukupnya

Cara membuat:

1. Ikan direbuskan dan sejukkan.

2. Ambil isi ikan dan hancurkan.

3. Masukkan semua bahan dalam kuali dan masakkan sehingga agak kering. Sentiasa kacau supaya tidak hangit.

4. Gaulkan tepung pulut, kelapa dan tepung gandum bersama air garam.

5. Ambil sedikit dan bulatkan. Masukkan inti ikan dan bulatkan semula.

6. Gorengkan dalam minyak yg banyak dengan api paling perlahan.

7. Bila nampak keperangan angkat dan toskan minyak.



Kuih bulat gete kata orang Ganu... hehehe

Monday, January 27, 2014

Me 'ngaku' juga akhirnya...


Assalamualaikum... salam Isnin salam sejahtera dan salam ceria buat semua di luar sana... Hari ini hari Isnin minggu terakhir bulan Januari... macam tak sedar jer macam sekelip mata jer macam cepat jer... macam baru semalam tahun baru.... Semoga Allah berikan kita peluang dan kesempatan untuk melakukan amal ibadat buat bekalan di akhirat nanti... Allahhuakbar...Allahhuakbar...Allahhuakbar...


Hari ini saya me 'ngaku'... mengaku buat kerepek jer... bukan buat salah apa pun... hehehe jangan marah yer gurau-gurau di pagi Isnin yg blues ini... sedap wooo layan kerepek ngaku ini... rasanya lemak-lemak gitu... lebih sedap daripada potato chips.... selain kerepek, katanya sedap juga digoreng bersama daging yg dihiris nipis ala-ala masak paprik tu... yg ini k.gee tak pernah cuba lagi... cuma ubi ngaku ini muncul setahun sekali aje bila tiba perayaan CNY... so sekaranglah masa yg sesuai untuk me'ngaku' kan...


Kerepek ngaku ini k.gee goreng ikut stail Zila4ever... buang kulitnya dan rendam air garam beberapa jam... kemudian goreng, toskan dan tabur serbuk lada hitam sikit atau cili kering goreng... sedap pedas pedas... krup krap krup krap licin sebalang makan depan TV...



NGAKU CHIPS (KEREPEK NGAKU)


Bahan :

Beberapa ketul ubi ngaku
Garam
Air
Minyak menggoreng

Cara membuatnya :

1.Mula-mula kupaskan kulit ngaku sehingga bersih. Kulitnya nipis saja. Tak perlu dibuang bahagian atas yang macam jambulnya tu untuk memudahkan semasa proses menyagatnya nanti

2.Sagatkan menjadi kepingan2 nipis, pegang bahagian atas jambul dan sagat perlahan2, hati2 jangan sampai tercedera tangan...

3.Rendamkan di dalam air garam sehingga selesai kesemuanya, toskan

4.Panaskan minyak secukupnya, minyak mestilah betul2 banyak & mencukupi

5.Apabila minyak sudah betul2 panas, masukkan kesemua ubi ngaku yang siap disagat dan gorengkan sehingga betul2 garing, tapi jangan sampai terlebih garing nanti tak sedap pulak..

6.Angkat dari minyak & toskan. Kemudian bolehlah ditaburkan sedikit garam halus dan serbuk lada hitam...jika suka...
 

Siapa nak mengaku... silakan lah...

Friday, January 24, 2014

Kangkung goreng sotong


Salam Jumaat yang indah lagi penuh baraqah...

Semoga hari ini membawa kebahagiaan, keceriaan, kebaikan buat kita semua. Redha lah dengan segala ujian dan dugaan dari Allah... sesungguhnya Allah hanya menduga kita semampunya....


Aci tak pagi-pagi tayang sayur kangkung...? Ini menu iftar semalam sebenarnya... asalnya nak masak lemak cili padi sotong dan goreng sayur kangkung...  sesampai di rumah rupanya emak sudah masak acar ikan dan terung goreng bilis...  tapi dek kerana encik hb berhajat nak makan sotong fresh untuk berbuka puasa jadi godekkan jugaklah sotong goreng bersama kangkung... 2 in 1 resepi... haha!


KANGKUNG GORENG SOTONG

Bahan A :


500g kangkung
5 ekor sotong sederhana saiznya
2 sudu makan minyak masak
1 sudu makan sos tiram
Garam secukup rasa
Serbuk kunyit
Sedikit serbuk ikan bilis

Bahan B (ditumbuk) :

5 biji cili api
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah

Cara - cara :

Kangkung dipotong kecil dan dicuci bersih.

Sotong dipotong bulat, basuh dan toskan.  Lumur dengan sedikit garam dan kunyit serbuk.  Goreng separuh  hingga masak.

Panaskan minyak dan tumiskan bahan tumbuk hingga wangi.

Masukkan kangkung. kacau.  Tambah garam, serbuk ikan bilis dan sos tiram.  Akhir sekali masukkan sotong goreng tadi dan kacau rata sekali lagi.

Hidangkan dengan nasi putih.  
 

Sempat lagi snap pic 10 minit sebelum berbuka puasa... hehehe...
kemaruk! kata hb...


Thursday, January 23, 2014

Nasi impit Sambal Ikan


Ahai... pagi-pagi lagi perut sudah bunyi lagu keroncong.... keriuk sana keriuk sini... huh!! teringat menu sarapan popular di Pantai Timur nasi impit cicah sambal ikan... sedap lagi kalau dapat nasi impit yg lembik sikit... k.gee malas nak buat nasi impit... beli ketupat segera saje dan rebus...  


Sambal ikan ini tidak susah membuatnya cuma agak cerewet sikit... ikan perlu direbus, dibuang tulangnya dan dikisar... kelapa parut juga perlu digoreng terlebih dahulu sebelum ditumbuk... begitu juga bahan-bahan yg lain... kemudian baru disatukan dalam kuali dan perlu dikacau dengan api perlahan sehingga kering... tak perlu terlalu kering biar lembab-lembab sikit... kalau sekilo ikan memakan masa lebih kurang 2-3 jam juga untuk siap... hehehe... letih menyediakannya tapi yg penting sedap dimakan... kaaann!!
 

Tak usah cerita banyak, jom terus ke resepinya yer... terima kasih buat Kak Na yg berkongsi resepi sambal ikan temurun arwah ibunya dengan k.gee... sedap banget...



SAMBAL IKAN

1 kg ikan selayang/ kembung - rebus, buang tulang dan tumbuk
1 biji kelapa parut - goreng kekuningan dan tumbuk halus

Bahan dikisar

10 ulas bwg merah
1 sudu cili kisar
1 inci halia
2 ulas bawang putih
2 batang serai
gula melaka/ gula merah
Garam dan gula secukup rasa

Cara2

Masukkan kesemua bahan ke dalam kuali dan tambahkan sedikit air. Kacau rata dan masak sehingga kering macam serunding. Sesuai dihidangkan bersama nasi impit atau ketupat segera.


Jom sarapan....


Wednesday, January 22, 2014

Kek Pisang Marble


Hari minggu baru-baru ini k.gee sempat berjalan-jalan ke Pekansari Temerloh... ada berbagai-bagai hasilan kampung yang dijual di sana... rambang mata dibuatnya... maklumlah duduk di bandar jarang dapat berjumpa sayur-sayuran dan hasilan kampung... sekali sekala bila balik ke rumah emak barulah dapat memetik belimbing buluh, pucuk ubi, ulam raja, bunga kantan, kacang botor dan sebagainya... Pekansari Temerloh sangat luas, terasa lenguh kaki nak menghabiskan sesi lawatan... adoii... bila sudah berumur ni mulalah sakit kaki lah sakit lututlah kan...


Banyak jugalah k.gee bershopping di pekansari tu... sampai sengetlah bahu hubby menjinjing plastik barang2... hehehe... ada pisang berangan, terung telunjuk, kulat sisir, belimbing buluh, sayur keladi, sayur nangka muda, ikan patin salai, tulang ikan talang masin dan macam2 lagi... bolehlah buat stok untuk seminggu...  


Sajian hari ini Kek Pisang Marble... k.gee guna pisang berangan yg dibeli dari Pekansari Temerloh...

KEK PISANG MARBLE

Sumber resepi: Rahel

Bahan-bahan:

150g pisang ranum (apa2 pisang yg ranum pun bole guna, k.gee guna pisang berangan)
180ml minyak masak
1 cawan gula kastor
3 biji telur
1 1/2 cawan tepung gandum}
1 sudu teh serbuk penaik}
1/4 sudu teh serbuk soda bikarbonat}'diayak
1/2 sudu teh esen vanila
1 sudu teh chocolate emulco
(k.gee tambah 1 sudu serbuk koko)

Cara:

1.Panaskan ketuhar pada suhu 170'C.Griskan acuan sifon dengan mentega/marjerin.

2.Minyak, telur, gula kastor dan pisang diblend hingga hancur.

3.Tuang ke dalam mangkuk besar.Masukkan pula esen vanila dan tepung yang sudah diayak tadi.Gaul rata.

4.Bahagi adunan kepada dua bahagian.Yang satu bahagian diberi chocolate emulco dan yang satu bahagian dibiarkan pada warna asal.

5.Tuangkan adunan coklat ke dalam acuan diikuti adunan warna asal. Buat seperti ini hingga selesai.

6.Bakar dalam ketuhar pada suhu 170'C selama 45 minit guna api atas dan bawah.


Memang sedap kek pisang resepi Rahel ini, sekali hadap sudah licin... berbaloi-baloi 


Jemputlah makan kek pisang...bunga jangan makan yer... hehehe

Tuesday, January 21, 2014

Paratha RoLL


Row, row, row your boat,
Gently down the stream.
Merrily, merrily, merrily, merrily,
Life is but a dream... 

Tetiba teringat lagu zaman kanak-kanak dulu... sehingga kini pun lagu ini masih popular di kalangan kanak-kanak tadika khasnya dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris... Bernyanyi merupakan cara yang menyenangkan bagi anak-anak dalam belajar bahasa Inggeris... selain daripada lagu dan irama, gambar, warna dan mainan merupakan alat bantuan mengajar yg sesuai utnuk jiwa kanak-kanak... ops! berlagak macam 'teacher' pulak k.gee hari ini.... hehehe...


Lagu 'row row your boat' tadi tidak kena mengena dengan sajian sarapan pagi ini yer... paratha roll ini sajian sarapan malas dari k.gee... gorengkan roti paratha segera, gulungkan dengan telur dadar dan cicah kuah atau sambal tumis belen semalam... ermmm... menjilat jari you...!!  


PARATHA ROLL

Bahan:-

5 keping frozen roti paratha segera
5 biji telor - dipukul sedikit
sedikit daun bawang - hiris halus
1/2 biji bawang besar - hiris
2-3 biji cili padi - hiris
garam secukup rasa
sedikit minyak/marjerin untuk menggoreng

Cara-cara:-

Panaskan non-stick pan dan letakkan beberapa sedikit marjerin dan goreng paratha hingga sedikit garing kedua2 belah. Buat hingga siap dan ketepikan.

Dalam mangkuk lain, campurkan telur bersama bawang, daun bawang, cili dan garam. Kacau rata.

Gunakan pan yang sama tadi, letak sedikit minyak/marjerin dan tuangkan 3 sudu besar adunan telur, biar adunan membulat dan tekapkan segera paratha yang telah digoreng tadi.

Masak lebih kurang 2-3 minit dan bila adunan telur telah melekat pada paratha, angkat ke dalam pinggan leper. Buat hingga habis.

Gulungkan terus ketika masih panas. Potong sebesar 1 1/2 inci dan atur dalam pinggan. Hidangkan bersama kuah kegemaran dan sedap dimakan ketika panas2....


Simple tapi sedaaaappp....


Ada yang nak ngendeng paratha roll k.gee keee...?
sudi-sudikan lah...

Monday, January 20, 2014

Mihun sup harijadi Amirul


Selamat pagi Isnin dan selamat pagi kawan-kawan semua... Di harap hari ini hari yang membawa kebahagiaan dan keceriaan dalam kehidupan kita... marilah kita sama-sama mulakan tugasan hari ini dengan lafaz bismillah dan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w.   Semoga Allah takdirkan yang positif dan yang baik-baik saja buat kita... Amin...
 


Mihun sup ini k.gee buatkan sempena ulang tahun ke-20 anak k.gee  Amirul Asyraf baru-baru ini... Mihun sup memang menu kegemaran Amirul... tambah-tambah digandingkan dengan pegedil dan sambal kicap... memang berselera dia makan... tak sedar sudah bujang anak sulung k.gee tu... terasa baru saja melahirkan dia pada tanggal 11 Januari 1994... Amirul anak yg cerdik sejak dari kecil walaupun zaman kecilnya kurang minum susu... dia lebih gemarkan  sirap dan ribena... mujur tumbesarannya normal dan aktif seperti kanak-kanak lain...  semasa berusia 4 tahun dia sudah mengenal huruf dan nombor... setiap pagi dalam perjalanan ke pusat jagaannya dia akan membaca nombor2 plat kenderaan di hadapan... sewaktu 5 tahun Amirul sudah pandai membaca jadi selalulah k.gee belikan dia buku cerita kanak-kanak dan komik... Amirul menduduki peperiksaan UPSR sewaktu berusia 11 tahun dan pada usia 12 tahun dia sudah melanjutkan pelajaran di Maahad Tahfiz di Shah Alam... sedih juga sewaktu nak meninggalkan dia di asrama dalam usia yang masih muda... mujurlah dia pandai membawa diri dan cepat berkawan... Setahun menuntut di Shah Alam dan kemudian dia menyambung pengajiannaya di Maahad Tahifiz Negeri Pahang di Kuantan... di sini Amirul aktif bersukan equestrian sehingga dia terpilih mewakili skuad equestrian Pahang di SUKMA 2012 dan SUKMA Kuala Lumpur 2013... Subhanallah... Allah kurniakan anak yg berbakat kepada kami...

Hari ini Amirul menyambung pula pengajiannya dalam bidang kejuruteraan kapal terbang di sebuah kolej di Mantin, Negeri Sembilan... Syukurlah dan semoga Amirul terus sukses dalam pelajarannya dan menjadi anak yang soleh... 
  

  

PEGEDIL

200 gm daging (cincang/blender hingga hancur)
200 gm ubi kentang
daun bawang - hiris
daun sup - hiris
bawang goreng
lada hitam - tumbuk
sedikit garam
1 biji telur
minyak utk menggoreng

1. Kupas kentang, potong, cuci dan toskan. Goreng hingga kekuningan. Tumbuk hingga halus.

2. Sediakan bekas dan masukkan daging yg dicincang/blender tadi, kentang lecek, garam, lada hitam, hirisan daun & bawang goreng. Gaul hingga sebati.

3. Bentukkan bulat dan leperkan...buat hingga habis.

4. Panaskan minyak dengan api kecil....salut pegedil dengan telur dan goreng.
 

MIHUN SUP

Bahan A:

1 paket mee hoon - rendam dan celur hingga lembut
Bahan Kuah Sup:

500 gram daging / tulang 
1 bungkus rempah sup bunjut

Bahan-bahan untuk ditumbuk/kisar:
2 inci halia
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
1 sudu besar lada hitam
1 sudu rempah sup serbuk

Rempah penumis:
*1 inci kulit kayu manis
*3 kuntum bunga lawang
*5 biji bunga cengkih
*2 biji buah pelaga

Garam
Air secukupnya

Bahan Hiasan:

Daun sup dan daun bawang dihiriskan
Bawang goreng
Cili merah dihiriskan

Cara Penyediaan

1. Rebuskan tulang/ daging sehingga daging lembut.
2. Tumiskan rempah pemunis beserta rempah serbuk hingga wangi dan masukkan pula bahan-bahan yg dikisar tadi bersama sup bunjut. Kacau.
3.  Masukkan pula daging/tulang beserta air rebusannya dan tambahkan lagi sedikit air. 
4.  Biarkan sehingga mendidih.
5.  Sesuaikan rasanya. Tutup api.


 

Jemputlah...

Thursday, January 16, 2014

Kerabu nangka muda


Assalamualaikum... salam siaran dan salam rindu buat semua... suram jer cuaca di luar sana se suram mood nak berblogging yang hampir tenggelam.... alahai... bukan malas tapi kadang-kadang tak ada idea... lagipun menu masakan yang biasa biasa saje dan berulang-ulang... bimbang juga ada yang boring atau menyampah kan... hehehe...   


Yang ini menu baru dari dapur gee-hut... pertama kali buat dan pertama kali makan... kerabu nangka muda resipi dari emak k.gee yang memang gemar makan kerabu...  ermmmm... walla..!!



KERABU NANGKA MUDA

Bahan-bahan :-


Nangka muda - potong kecil, rebus dan toskan

10 biji cili padi - potong kecil
5 ulas bawang merah - hiris nipis
1 sudu lada hitam - digoreng tanpa minyak
1 sudu beras - digoreng tanpa minyak
1 cawan santan pekat
1/2 cawan kelapa parut - digoreng tanpa minyak
Sedikit udang kering

Cara2nya

Tumbuk lada hitam, beras goreng, kelapa dan udang kering hingga hancur.  Sediakan bekas dan campurkan semua bahan-bahan.  Tambahkan santan pekat, garam dan gula mengikut citarasa. Gaul rata.
 

Selamat mencuba...!!

Monday, January 13, 2014

Puff sardin


Assalamualaikum.... Selamat pagi sayang... hehehe... ayuh terus saje ke meja makan... sarapan pagi ini puff sardin yg mudah dan ringkas... Kelmarin k.gee intai-intai di sini dan terus teruja tengok puff FHA blogger yg hampir senama dengan k.gee ni... bukan puff sahaja malah semua gambar2 dari blog FHA ini sangat menggoda... cantik2 belaka... menyelerakan!!


Sebenarnya puff ini boleh dipelbagaikan intinya... sardin, apple, ayam, sayur dan sebagainya ikut citarasa dan mood memasing... sesuai untuk minum petang, sarapan pagi serta untuk majlis-majlis keramaian dan tapaw ke pejabat... sedap!! 



PUFF SARDIN
Sumber : Intai-intaidapurfha

BAHAN A


10 keping Puff Pastry
1 biji telur ~ dikocok

BAHAN B (Inti)

2 tin kecil sardin
1 labu bawang besar ~ dihiris
10 biji cili padi ~ dihiris
Jus limau nipis
Daun sup/daun bawang
Garam dan gula secukup rasa

Inti:
Panaskan minyak dalam kuali, tumiskan bawang dan cili hingga naik bau.  Masukkan sardin dan masak hingga terbit minyak.  Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Akhir sekali perahkan jus limau nipis dan taburkan hirisan daun sup/bawang. Angkat dan toskan minyaknya

Cara-Cara Membalut:-

1..Ambil sekeping puff pastry dan alas pastry dengan plastik yang tersedia.

2. Potong pastry kepada 2 bahagian. Pastikan satu bahagian sedikit besar yang akan dijadikan pembalut dibahagian atas

3. Kelar-kelar bahagian yang besar tadi.

4. Pada satu bahagian lagi, sudukan inti ke atas nya dan tutup dengan kepingan yang berkelar tersebut.

5. Kemaskan tepinya dan tekan dengan garfu, pastikan ditekan kuat sedikit. Alih ke dalam dulang pembakar yang di sapu dengan sedikit minyak sayur.

6 Sapu atas puff dengan kuning telur dan bakar dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 180C selama 30-40 minit atau sehingga keperang-perangan.



Selamat menjamu selera.... 

Thursday, January 9, 2014

Pasembor Chef Hanieliza


Apa kata hari ini kita layan rojak pasembor resipi Chef Hanieliza yang semakin fofular itu... Pertama kali k.gee diperkenalkan dengan Chef Hanieliza oleh kak Ummi (Home Sweet Home) sewaktu chef membuat promosi Buku Masakannya 1 Hari 1 Resipi di Kuantan Parade... K.gee sempat berbual mesra dengan chef  kak Liza yang tersangat mesra orangnya seperti sudah kenal lama... kami sempat bergambar dan chef bermurah hati menghadiahkan choc cupcake untuk kami... muah muah... sayang Chef Kak Liza... semoga kak Liza terus maju jaya dan menjadi chef tersohor seantero dunia....


Semasa tengok Kak Liza demo masak rojak pasembor, nampak mudah saje dan aroma kuahnya sangat menggoda... tak sabar2 k.gee nak mencubanya... fuh!! memang kaw dan tobat sedap... !!! berbaloi-baloi....  


ROJAK PASEMBOR


Bahan kuahnya:

200 gm kacang tanah – goreng tanpa minyak dan mesin halus
1 biji keledek – rebus dan lecek
4 sudu cili kisar
4 – 5 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
Udang kering
½ cawang gula merah – dimasak bersama secawan air
3-4 sudu kicap manis
½ cawan air asam jawa
Garam secukupnya

Cara :

Panaskan kuali dengan sedikit minyak. Tumis bahan kisar sehingga bangkit baunya. Masukkan kacang tanah yang disudah dimesin dan gaul rata. Tambahkan sedikit air dan biarkan mendidih. Masukkan pula keledek lecek, kicap, air asam jawa dan gula merah. Kacau rata dan biarkan sehingga kuah pekat sedikit. Sejukkan.




Bahan sayuran :

1 biji sengkuang
Timun hiris memanjang
Karot
Timun
Taugeh – dicelur

Bahan lain :

Tauhu digoreng dan dihiris nipis
Telur rebus

Cara membuat cucur udang :

2 cawan tepung gandum
1 cawang tepung beras
Taugeh
Kucai
Bawang besar – dihiris nipis
Udang hidup
Sedikit udang kering
Garam
Air secukupnya

Bancuh semua bahan kecuali udang hidup di dalam mangkuk. Kacau rata. Panaskan minyak dan rendamkan sudip ke dalamnya. Tuangkan bancuhan ke dalam sudip panas dan letakkan udang hidup di atasnya. Biarkan garing sedikit dan keluarkan dari sudip terus ke dalam minyak tadi. Biarkan sehingga garing. Buat lagi sehingga bancuhan habis. Untuk menghidang, pastikan cucur udang dipotong kecil.

Cadangan hidangan :

Campurkan bahan sayuran, tauhu goreng, telur rebus dan curahkan kuah kacang di atasnya. Gaulkan dan sedia untuk dinikmati.

 

Terima kasih kepada chef tersohor Chef Hanieliza...
sedaaap banget....

HAKMILIK GEE HUT
Designed by UMIESUEstudio 2015