Monday, June 30, 2014

Som-som Ramadhan


Salam Ramadhan kareem dan selamat menunaikan ibadah puasa buat semua muslimin dan muslimat di mana jua berada... Semoga puasa kita mendapat keberkatan dan segala amalan di terima Allah swt..

Juga mohon maaf lahir dan batin andai ada silap dan salah, terkasar bahasa atau tersilap tutur bicara... dan semoga Allah sampaikan hajat kita menemui lailatul Qadar yang dicari.... Ameen Ya Rabb... 


SOM-SOM

Bahan-bahan :)

1 cawan tepung beras
5 cawan santan
1/2 sudu teh garam
Daun pandan

Campurkan semua bahan ke dalam periuk. Kacau rata.  Nyalakan api. Kacau sentiasa sehingga menggelegak dan bubur nampak berkilat.  Masukkan ke dalam mangkuk atau acuan yang digemari. Sejukkan.  Jika suka boleh disimpan di dalam peti sejuk sebelum dihidangkan bersama sirap gula merah.   


Bolehlah buat untuk menu berbuka puasa hari ini...
selamat mencuba...



Tuesday, June 24, 2014

Biskut Kurma Lemon


Assalamualaikum...
Sedang buat apa tuu..? wah! sudah mula mengukis yer...? ini mesti banyak dapat tempahan kuih raya... ada yang mengambil cuti sebulan sepanjang Ramadhan untuk menyiapkan tempahan kuih muih dan biskut raya... tak kurang juga si tukang jahit yang tak menang tangan siang dan malam menggoyangkan kakinya... aduh mak ai..! melimpah ruah rupanya rezeki di bulan yang muia ini... tahniah dan syukur alhamdulillah...


Biskut kurma lemon ini resipi adaptasi dari shortbread cookies yang k.gee belek-belek di internet... tak ingat pulak dari blog minah salleh yang mana... k.gee ubahsuai sikit ikut citarasa sendiri... rasa manis kurma dan masam-masam dari perisa lemon memang sinonim dengan tekak k.gee... kalau suka bolehlah diubahsuai dengan buah-buahan kering yang lain seperti cranberry, kismis atau ceri... cubalah...

BISKUT KURMA LEMON

Bahan A :

120 gm mentega
30 gm gula kastor
1 sudu teh esen vanila
1 biji kuning telur

Bahan B :

1 sudu kecil parutan kulit lemon/oren
1 sudu kecil esen/perisa lemon
100 gm kurma (buang biji dan cincang kecil)

Bahan C :

50 gm badam serbuk
150 gm tepung gandum

Cara menyediakan :

Gaul bahan A hingga sebati.  Masukkan bahan B dan diikuti dengan Bahan C. Gaul sebati.
Canai dan terap dengan acuan kegemaran. Jika suka boleh sapukan kuning telur di atasnya. 
Bakar 170'C selama 20 minit. 



Bulan ramadhan bulan yang mulia
Bulan rahmat dan bulan berkat
Bulan kebajikan pahala berganda
Bulan keampunan doa diterima...

Ramadhan bulan yang suci
Rahmat berlimpah dari Ilahi
Gandakan amal di bulan ini
Wajah muslimin selalu berseri...


Tuesday, June 17, 2014

Tom Yam


Sudah makan tengahari ke...? Syukur alhamdulillah... bersandar nampaknya tu... sah kekenyangan, kan? apa tidaknya lauk masakan isteri tercinta... hingga menjilat jari lah sang suami... Subhanallah... insyaalah syurga balasanya untuk para isteri yang melayan makan minum suami dengan penuh tanggungjawab dan kasih sayang....


Ok... takmo celoteh panjang-panjang... jom layan tomyam campak-campak dari dapor gee-hut ni...

 
TOMYAM

Bahan-bahan :-

Isi ayam, daging, sotong, udang, daun limau purut, perahan limau nipis, tomato, serai, bawang besar holland, cili padi, tomato, kiub tomyam (jika suka), sayur-sayuran, air secukupnya dan garam

Cara-cara :-

Masukkan air rebusan ke dalam periuk. Biarkan seketika.

Masukkan bawang besar, tomato, serai dan cili padi ke dalam air rebusan yang hampir mendidih.

Masukkan hirisan ayam dan daging ke dalam periuk.

Apabila campuran sudah mendidih, masukkan sotong dan udang.

Seterusnya masukkan sayur-sayuran.

Akhir sekali masukkan garam, air limau nipis dan daun limau purut.

Kacau bahan-bahan dan biarkan mendidih seketika.

Tutup api dan hidangkan panas-panas.



Pergh...! puas hati dapat makan tomyam air tangan isteri... kata encik Laling...
heheeee.... sayang awak...!!

Monday, June 16, 2014

Murtabak Kraker


Assalamualaikum dan Selamat pagi Isnin...
Dah habis dua minggu... sekejap saja kan? Terasa macam laju sangat masa berlalu... cuti sekolah sudah berakhir... Back to School... Bila anak-anak sudah mula bersekolah, rumah jadi sunyi sepi... alahai... nak memasak pun tak ada mood sebab tiada orang nak makan... harapkan makan berdua godek-godek yang ringkas dan bodo-bodo sudah... encik hubby tak kisah... janji air tangan isteri... ahai!


Murtabak lapis kraker antara menu ringkas untuk sarapan pagi... kalau nak sediakan untuk minum petang atau makan malam pon boleh sebab hidangan ini nampak ringkas tapi mengenyangkan... kalau suka boleh lapiskan dengan ayam atau daging... ikutlah selera masing-masing... kali ini k.gee buatkan inti ayam sebab stok ayam bertimbun time anak-anak cuti sekolah baru ini dan tambahkan sedikit ubi kentang... ala-ala inti karipap gitew... sedap tau...!


Murtabak Lapis Kraker

Resipi : Yatiememories

Bahan-Bahan:-(loyang 9x9x3inci)


•18 keping biskut krackers (Yatie guna 27 keping sbb buat 3 lapis)
•500 ml santan (*Yatie letak 400 ml je)
•1 tin susu cair (Yatie letak 1 cawan je)
•6 biji telur

Untuk Lapisan Daging

•400 gm ayam/ daging kisar
•3 biji bawang besar dicincang halus
•1 paket kecil serbuk kari daging- Yatie letak 3 sudu besar
•7 biji bawang merah
•3 ulas bawang putih
•1 inci halia
•1 batang lobak merah diparut
•1 tangkai cili merah- di cincang (Yatie tambah)
•daun bawang daun sup dicincang
•3 sudu besar minyak masak
•garam secukup rasa, sedikit gula

Cara Masak Inti

1.Tumbuk bawang merah, bawang putih dan halia hingga halus. Campurkan pada rempah kari sehingga menjadi pes basah.

2.Panaskan minyak tumis pes basah sehingga gareng dan naik baunya. Masukkan bawang besar dan daging cincang.

3.Masukkan 1/4 cawan air dan masak sehingga daging empuk.

4.Masukkan garam, lobak merah dan daun bawang dan daun sup. Angkat dan sejukkan.

Cara Buat Lapisan Kraker.

1.Rendamkan 9 keping krackers dalam campuran susu dan santan tadi. Rendam dlm 1 minit je.

2.Oleskan 9 x 9 dulang pembakar dengar mentega.

3.Susun krackers yang telah dicelup tadi ke dalam loyang.

4.Lapiskan dengan lapisan daging.

5.Pukul ringan telur dan tuangkan separuh dari telur ke atas lapisan daging tadi.

6.Susun lagi krackers atas lapisan daging dan telur tadi.

7.Tuangkan lagi separuh dari susu tadi.

8.Ulangi proses lapisan sehingga habis, lebih kurang tiga lapis.

9.Akhir sekali tuangkan baki susu sehingga habis. Bakar selama 45 minit pada kadar 190C. (Yatie buat 2 lapisan daging dan 3 lapisan biskut kraker, bahagian atas di akhiri dengan biskut krakers).


Nyum..nyum...jemput sarapan...

Friday, June 13, 2014

Kurma Delight ~ Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan...


Assalamualaikum wbt... dan salam sejahtera.  Alhamdulillah bertemu lagi di hari Jumaat yang penuh barakah... tinggal beberapa hari lagi kita akan menyambut kedatangan bulan yang mulia bulan Ramadhan... bulan yang sangat ditunggu-tunggu untuk menunaikan amal ibadah...

Sambutlah Ramadhan dengan jiwa terbuka
seperti ketibaan orang yang kita cinta
Dengan ucapan
Ahlan Wa Sahlan Marhaban Ya Ramadhan
Hati gembira pintu terbuka
Rahmat Allah Yang maha Besar



KURMA DELIGHT
Resipi : Adinda saya... Cikgu Norzihan

Bahan-bahan:

250gm butter
80 gm gula castor
300 gm tepung gandum
80 gm tepung jagung
1 biji kuning telur
½ sudu the esen vanilla

Jem

500 gm kurma
200 gm gula
2 sudu besar jus lemon/limau

Cara-cara

1.Untuk jem, kisar kurma dan masak dengan gula. Masukkan pati jus lemon/limau dan masak sehingga pekat dan likat macam jem

2.Untuk tart, pukul butter dan gula. Kemudian masukkan kuning telur dan esen vanila. Masukkan tepung dan adun sebati.

3.Ambil satu bahagian adunan tart tadi dan ratakan ke dalam loyang dgn ketebalan lebih kurang 1cm

4.Sapukan jem atas adunan yang telah diratakan tadi dan lapiskan. Buat dua atau 3 lapis. Setiap lapis sapukan jem kurma.

5.Hias atasnya dan bakar suhu 180c (sampai kekuningan).

 

Allahuma bariklana fii rajab wa sya’ban, wa balighna ramadan.”


Ertinya, “ Ya Allah, berkahilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban; dan sampaikan kami ke bulan Ramadan.” (Riwayat. Ahmad dan Tabrani)

Amin Ya llah....

Thursday, June 12, 2014

Mee Bandung mudah


Assalamualaikum dan salam pagi Khamis para ibu-ibu di dapur... juadah apa untuk sarapan anak-anak pagi ini? nasi lemak sudah... nasi goreng sudah...mee goreng sudah... roti sudah... donut sudah... lempeng sudah... aduh mak ai! apa lagi nak dimasak ni yer..?  mulalah garu kepala dibuatnya... anak-anak tahu order saje kan... mak masak sedap katanya... haa...itulah kelebihan anak-anak... pandai membodek...  hamboiii.... mulalah nak marah pon tak jadi...


Mee bandung antara kegemaran anak-anak k.gee dan memang selalu k.gee buat tidak kira untuk makan tengahari, petang atau malam... tapi tidak lah power macam mee bandung Muar yang memang menjadi menu 'killer' di Johor tu... biasanya menu di musim cuti sekolah ni ikut bahan-bahan yg ada dalam stok saje dan tidak pekat sangat... anak-anak suka hirup kuahnya yg masam-masam manis tu jadi k.gee sengaja lebihkan kuahnya... k.gee jarang menggunakan perencah mee bandung segera sebab kadang-kadang tidak kena dengan selera tekak kami...

Apa-apa pun yang penting anak-anak berselera makan dan kenyang perut mereka... kan?


MEE BANDUNG

BAHAN-BAHANNYA :-)

1 bungkus mee kuning (celur dan toskan)
4-5 ketul ayam (bersihkan dan potong kecil)
2 biji tomato - dipotong kecil
200 gm udang (bersihkan dan buang kulit)
3-4 ekor sotong (potong kecil-kecil)
1 biji keledek ( kupas kulit, rebus dan lecek)
3 biji telur ayam
1 sudu udang kering (tumbuk lumat)
2 liter stok ayam (atau air biasa + 1 kiub stok ayam, larutkan)
Garam dan gula secukup rasa


Bahan-bahan kisar :
Cili kering, bawang merah dan bawang putih

Bahan-bahan lain :

Tauhu goreng, bawang goreng, sayur-sayuran, cili hijau, cili merah dan limau kasturi.


CARA MEMBUATNYA :-)

Mula-mula tumis bahan-bahan kisar serta udang kering yg ditumbuk lumat sehingga harum baunya dan garing... Masukkan ayam yg dipotong kecil, sos tomato, sos tiram, kiub ayam dan buah tomato.  Tambahkan air dn biarkan sehingga mendidih.  Bila sdah didih masukkan udang, sotong dan keledek lecek tadi.  Jangan lupa garam dan gula... Biarkan mendidih dan kuahnya pekat sedikit barulah dimasukkan sayur-sayuran.  kalau suka boleh pecahkan telur ke dalam kuah yg sedang mendidih tadi dan biarkan telur membeku. Dah siap boleh lah angkat dan hidangkan bersama mee kuning, tauhu goereng dan hiaskan dengan hirisan cili, bawang goreng dan limau kasturi.



Ayuh fly ke Bandung.... hehehe


Wednesday, June 11, 2014

Bubur kacang Labu Labi...


Hoi bubur kacang..!
Hoi nasi goreng...!
Hoi nasi hoi bubur hoi mee siam..!

Tukang masak kerjanya senang
Pagi pagi masak bubur kacang
Campur gula hai setengah dulang
Bila makan rasanya trang tang tang


Memang manis memang lemak
Kalau suka makan lah banyak-banyak
Bubur kacang sudah lah terpuji
Seantero dunia seluruh negeri

Hoi bubur...

Hoi bubur...

Hoi bubur...

Hoi number one..!!!
 

Ha ha ha ha haaa.... terkenangkan kisah lucu orang gaji Pak Haji Bakhil dalam cerita Labu Labi lakonan P.Ramlee dan M. Zain... Filem P.Ramlee memang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas... walaupun sudah lebih setengah abad tetapi tetap menghiburkan setiap kali menontonnya... kan?


Jom slrup bubur kacang....
resipi boleh selongkar SINI yer...


Tuesday, June 10, 2014

Nasi lemak sambal udang


Assalamualaikum dan Selamat pagi semua... semoga Allah merahmati dan memberkati hidup kita hari ini... amin...  Hari ini merajinkan diri menanak nasi lemak untuk anak-anak di rumah... kelentang kelentung sorang diri di dapur... sesekali terdengar suara encik hubby terbesin di dalam bilik dek semerbak aroma sambal tumis udang campur belacan yang sedang menggelegak di atas dapur...


"Mak! jangan lupa ayam goreng tau..." itu pesanan dari si kecil eQa sewaktu k.gee merancang nak buat nasi lemak semalam... Bahan-bahan untuk set nasi lemak ini k.gee sudah sediakan di malam hari supaya paginya tidaklah kelam kabut sangat... maklumlah para ibu bekerjaya ni memang sibuk memanjang... namun tanggungjawab rumahtangga perlu juga diambil perhatian... tak gitu cik yah...!!?? hehehe...



RESEPI NASI LEMAK

Bahan

•2 pot beras (bersihkan)
•4 cawan santan ( 1 cawan santan pekat + 3 cawan air pon boleh...)
•1 helai daun pandan
•1 sudu teh garam

Cara :

Campurkan semua bahan dan masak nasi seperti biasa.


SAMBAL TUMIS UDANG

Bahan-bahannya :

200 gm udang sederhana besar (buang kepala dan ekornya)
6 sudu besar cili kisar (ikut kepedasan masing2)
3 biji bawang merah – ditumbuk
2 biji bawang besar – 1 biji bawang ditumbuk dan 1 biji bawang besar hiris
sedikit air asam jawa
sedikit belacan jika suka
sedikit garam dan gula

Caranya...

1.Tumis cili, bawang merah dan bawang besar serta belacan hingga pecah minyak dan naik baunya.

2.Masukkan air asam, bawang besar hiris dan sedikit air agar sambal tidak terlalu pekat.

3.Bila sudah mendidih, masukkan udang dan gaul rata.. Biarkan seketika di atas api atau hingga udang masak. Hidangkan bersama nasi lemak. 
 

Jemputlah... 


Monday, June 9, 2014

Genap sebulan...


Subhanallah... terasa baru semalam peristiwa hitam itu berlaku... rupanya sudah sebulan lamanya... walaupun ianya masih menghantui diri dan perasaan ini tetapi kugagahi juga memadamkan tragedi pahit itu... ku panjatkan doa semoga Allah mengurniakan kekuatan dan ketabahan diri mengharungi dugaan dan ujian di dunia ini... amin ya rabb


Tiada yang istimewa dari dapor kak gee hari ini... sekadar memanaskan 'badan' dan 'tungku dapor' yang sudah lama sejukbeku... Tetiba pagi ini macam baru tersedar dari mimpi... rupanya sudah sebulan tidak berblogging dan sebulan juga tidak memegang kamera... prop pon sudah berdebu gamaknya... hehehe... bila selongkar sana selongkar sini... alahai resipi Biskut Suji Kristal ini saja yang ada dalam simpanan... menu-menu lain dan gambar-gambar yang bertimbun dalam folder lappy sudah lenyap disapu penyamun.... huk huk memang sedih... tapi apakan daya... Layan biskut yg comel ini ajelah yuk...


BISKUT SUJI KRISTAL
Resipi : Potret kasih
Olahan : gee-hut

Bahan

250 gm tepung gandum
125 gm gula halus (k.gee guna gula aising)
125 gm minyak sapi
pewarna..merah ..kuning dan hijau

Caranya:

1. Gaulkan semua bahan sehingga sebati.

2. Bahagikan adunan kepada 3 warna dan masukkan warna yg berlainan saperti merah, kuning dan hijau.

3. Bentukkan adunan saperti bebola dan cantumkan 3 warna saperti dalam gambar.

4. Masukkan dalam paper-cup dan bakar dalam 180′C selama 20-25 minit.

5. Bila dah sejuk taburkan gula halus.

6. Simpan dalam balang kedap udara.



** Terima kasih kepada yang masih sudi singgah sini....

HAKMILIK GEE HUT
Designed by UMIESUEstudio 2015