Monday, March 30, 2015

Ibu & Anak.. Geehut muncul lagi


Pernah baca Majalah Ibu dan Anak?  Majalah keluaran Utusan Karya Sdn Bhd ini merupakan rangkuman informasi dan pengisian terkini tentang dunia kehamilan dan keibu bapaan... pelbagai informasi penting dan isu-isu menarik dimuatkan dalam keluaran bulan April ini antaranya isu 'Botol susu calar - sejauh mana kita prihatin bahaya penggunaan barangan plastik; Cabaran tumbesaran tebantut; 10 cara bermain dengan bayi dan berbagai-bagai artikel menarik lagi... Bukan sahaja isu tentang keibu bapaan malahan dimuatkan juga slot Berita, Santai, Keluarga dan beberapa Peraduan... Tidak ketinggalan ruangan Resipi, Dapur Junior dan Kraf... 

Wah! macam-macam ada... memang berbaloi-baloi beli Majalah Ibu dan Anak... k.gee tolong promosi...!! hehehe...


Terima kasih tidak terhingga buat Majalah Ibu & Anak khasnya kepada wartawan eksekutifnya, Norhafiza Mohd. Zain yang menawarkan k.gee berkongsi resipi berserta gambar-gambar 'step by step' dalam slot Dapur Junior... K.gee ditawarkan 4 resipi kanak-kanak dan akan muncul dalam 4 keluaran Majalah Ibu & Anak untuk bulan April, Mei, Ogos dan September... waaaa...!! glamer you... kali ini Geehut layan selera budak-budak pula dengan resipi Mufin Pisang Berkismis... resipi yang ringkas, mudah dan berkhasiat..

Jom dapatkan Majalah Ibu & Anak April 2015 hari ini.


Sunday, March 29, 2015

Yang bakar bakar...


Masak apa tu?
ayam ke... atau ikan..?  
atau udang dan sotong jadi pilihan...
Hari ini k.gee sediakan sajian sihat dan lazat...  daging dan terung bakar... cicah bersama air asam... menu ringkas dan mudah tapi berselera tuan rumah makan tau...!



TERUNG BAKAR

3 biji terung ungu - dibelah dua
Garam dan lada sulah/hitam secukup rasa

Cara : 

Panaskan kuali non-stick dan susun terung.  Taburkan sedikit garam dan lada sulah/hitam ke atasnya. Bakar.  Terbalikkan terung dan bakar dibahagian sebelahnya pula. Jika sayur terlalu kering renjiskan sedikit minyak zaitun di atasnya.  



DAGING KAMBING BAKAR

5 keping daging kambing
5-6 sudu sos black pepper
1 sudu minyak zaitun
1 sudu kicap manis
2 sudu besar lada hitam - tumbuk halus
Secubit garam

CARA :

Gaulkan semua bahan hingga sebati dan lumurkan daging kambing dengan bahan perapan hingga rata.  Perapkan selama 3-4 jam.  Bakar dalam kuali non-stick hingga masak. Hiris nipis apabila hendak menghidang. 


AIR ASAM

1 cawan air asam jawa 
1/2 inci belacan bakar - hancurkan bersama air asam jawa
10-15 biji cili padi - hiris nipis
1 biji bawang merah - hiris nipis
1/2 sudu teh garam
2-3 sudu gula 

Satukan semua bahan dan gaul rata.  Hidangkan bersama daging dan terung bakar tadi.



Walla.... sangat yummy!



Saturday, March 28, 2015

Bubur Udang simple


Lamanya k.gee tidak ke udara... jemu gamaknya tetamu asyik disajikan bubur gandum... hehehe... apo nak dikato... tuan tanah sibuk bebenor... orang lain sibuk dengan tempahan kek, kuih dan segala bagai... berpeluh-peluh tapi masyuuuuk...!! kita pulak sibuk urus itu urus ini pergi ke sana ke sini... tak jugak masyuk masyuk... masyuk angin keluar asap aje daaa.... !!!


Seminggu dua ini bubur nasi sudah jadi menu wajib di dapur geehut... al maklumlah sambil melayan tekak orang sakit... macam-macam bubur yg k.gee buatkan... bubur lambuk, bubur daging, bubur pedas, bubur ayam dan kali ini bubur udang pulak... cuma udangnya pemalu sikit... menyorok dalam nasi... hehehe....   


BUBUR UDANG

1 cawan beras - rebus bersama air hingga kembang dan hancur
1 cawan santan
10 ekor udang hidup - buang kulit
2 ulas bawang putih - dihiris 
2 biji bawang merah - dihiris 
1/2 inci hali - hiris
1 kiub ikan bilis
Garam secukupnya
Daun bawang / daun sup
Sedikit minyak masak
Bawang goreng

Caranya :

Panaskan periuk dan minyak masak.  Tumis bawang dan halia yg dihiris halus sehingga naik bau wanginya.  Masukkan udang dan kacau rata.  Curahkan nasi yg sudah direbus tadi.  Tambahaa santan, kiub ikan bilis dan garam secukupnya.  Biar sehingga mendidih dan masak.  Tutup api.  Taburkan daun bawang dan bawang goreng di atasnya.  Sedia dihidangkan.  


Kalau suka boleh dihidangkan bersama sup sayur dan telur masin... sedaaap banget... orang tak sakit yang makan bertimbun-timbun.... heeee


Thursday, March 12, 2015

Bubur gandum


Pernah dengar bubur kacang anak lebah? kalau tak silap k.gee di Negeri Perak saje yang ada bubur itu... biasanya bila ada kenduri kendara mereka akan menyediakan bubur kacang anak lebah... masak bubur kacang seperti biasa dan 'dikahwinkan' dengan bubur gandum seperti yang k.gee buat ni... cuma adunan mereka lebih lembut dan dicampur dengan air pandan sebagai penambah aroma... mereka menggunakan acuan seperti acuan cendol untuk membentuk 'anak lebah' tu... k.gee tak pernah lagi mencubanya... seorang rakan lama yang berikan k.gee resepi... katanya sangat sedap dan ralit menggigit2 doh yg kenyal2 tu... Insya Allah bila ada kesempatan nanti bolehlah mencubanya... Hari ini kita layan bubur gandum versi geehut dulu yea... hehehe


BUBUR GANDUM 
Bahan-bahan A:

2 cawan tepung gandum
air secukupnya
secubit garam

Bahan B:

1 mangkuk santan (lebih kurang 1 liter)
1/2 cawan gula pasir
1/2 cawan air gula merah
Daun pandan


CARA MEMASAK :

Sediakan periuk dan satukan santan, sedikit air, daun pandan dan gula merah.  Panaskan dan kacau rata. 

Gaulkan semua bahan A dalam bekas yang sesuai, masukkan sedikit demi sedikit air sampai adunan tepung sebati dan menjadi doh yang lembut. Kemudian jemput2kan atau gentel doh tadi dan masukkan ke dalam santan dan masak sehingga kuah mendidh.



Sedapnya slrup bubur gandum...
jemputlah buat sendiri... hehehe 

Saturday, March 7, 2015

Puding sagu


Petang petang yg bercuaca panas begini kalau layan puding sagu yang baru keluar dari peti ais memang best... slruuup... slruup... kuahnya yang lemak ditambah dengan air gula merah yg manis.. pergh! alangkah nyamannya tekak... 


Ini penangan terlior selepas skodeng blog intai-intai dapur FHA tempohari... puding sagu gula merah FHA buatkan k.gee terbayang bayang termimpi-mimpi... nasib baik ada belen sagu mata ikan lepas buat projek asam gumpal minggu lepas... apalagi! godek godek dapat 6 ketul.. cukuplah buat minum petang hujung minggu ni... 


Memang betul kata FHA... memang sedap... memang nyaman... memang best...kan? compem buat lagi... lagi dan lagi... 



PUDING SAGU

Bahan (puding sagu) :


2 cawan sagu biji mata ikan
3 cawan air

Bahan (Kuah) :
3 cawan santan pekat
Secubit garam
Daun pandan

Bahan (Air gula) :
1 cawan gula merah/ melaka
2 sudu gula

Cara-cara:

Rendam sagu lebih kurang 20 minit. Kemudian masak sagu dengan air sampai sagu kembang, kental dan warna bertukar lutsinar. Masukkan dalam tapis dan basuh sagu tersebut. 

Tuang ke dalam acuan dan sejukkan dalam peti ais.

Didihkan gula merah bersama 2 sudu gula pasir sehingga gula hancur dan pekat. Sejukkan.

Masukkan santan pekat ke dalam periuk dan tambahkan secubit garam dan sehelai daun pandan.  Sentiasa kacau sehingga mendidih. Sejukkan.

Bila nak makan, tuangkan santan ke atas puding sagu dan curahkan air gula merah di atasnya...


Memang syiok... wallaaa... 


Thursday, March 5, 2015

Vadai ke Masala Vadai ?


Sudah sarapan? Pagi ini k.gee makan kuih vadai.. sendiri bikin tau!! seketul demi seketul masuk perut dengan secawan besar teh tarik... alhamdulillah kenyang perut... baru puas hati dapat makan kuih buatan sendiri... walaupun tidaklah sehebat yang dijual di luar sana.... haha


Apa yang k.gee tahu kuih vadai merupakan kuih tradisional masyarakata India... ia juga dikenali dengan berbagai gelaran seperti vada, vadei, wada, masala, masa lode atau pun vadai yang bermaksud adunan rempah... biasanya kuih ini menjadi sajian minum petang yang dijamu panas-panas dan garing... rasanya yang agak pedas dan berempah membuatkan ianya digemari bukan sahaja oleh masyarakat India malah semua golongan terutama masyarakat Melayu yang kini ianya banyak dijual di pasar-pasar malam dan gerai2 makanan...


Ok lah mai kita tengok resepi

VADAI
Sumber : Jintan Manis

Bahan-Bahan


250 gram kacang dal (direndam dalam air selama sekurang-kurangnya 4 jam, kemudian toskan)

2 tangkai cili kering - dihiris halus

1 tangkai daun kari - dihiris halus

1/2 labu bawang besar- cincang halus

1 camca teh jintan manis (biji)

1/2 sudu teh garam (atau secukup rasa)

Sedikit kiub ikan bilis (k.gee tambah)

.

Cara-cara

- Kisar kacang dal dengan blender. Tak kisah lah kalau ada yang tak hancur sepenuhnya.

- Campur dengan semua bahan. Rasakan garamnya.

- Leperkan dengan tangan dan goreng hingga kecoklatan.



Vadai... vadai... vadai...!! panas panas...
mari mari... 2 singgit...2 singgit...


Tuesday, March 3, 2015

Asam pedas ayam


Asam pedas memang lauk kegemaran kami sekeluarga baik ikan, daging ataupun ayam... setiap minggu asam pedas menjadi menu wajib di meja makan dan jika ada berbaki akan jadi pencicah lempeng kelapa atau cekodok terutama yang sudah bermalam... pergh! kuahnya yg pekat dan mesra rasa asam garamnya... memang power! memang ngamlah dengan selera tekak kami... 


K.gee sukakan asam pedas yang pekat kuahnya... jadi k.gee akan pastikan bahan tumisannya betul-betul masak, garing dan naik baunya dan dimasak lama... sampai kekadang jiran sebelah rumah pun terbersin bau tumisan k.gee di atas dapur... minta maaflah yea jiran... kalau sudi jemputlah bertandang ke rumah boleh k.gee sajikan lauk asam pedas kegemaran... hihihi ajak-ajak ayam... 



ASAM PEDAS AYAM 

Bahan-bahan :

1/2 ekor ayam - potong ikut suka
2-3 keping asam keping
1/2 cawan air asam jawa
Daun kesum, tomato, bunga kantan
Sedikit gula
Garam secukup rasa
Minyak menumis

Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
2 biji bawang merah
10 tangkai cili kering
1 inci hali
1/2 inci kunyit hidup
1 inci belacan

Cara membuatnya :

Ayam dibersihkan dan digoreng sekejap.  Ketepikan.  Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga garing dan bangkit baunya.  Masukkan ayam tadi dan gaul rata.  Tambahkan air secukupnya. Masukkan pula bunga kantan, daun kesum, asam keping, air asam jawa, garam dan gula. Biarkan sehingga mendidih dengan menggunakan api yang kecil.  Masak betul-betul sehingga kuahnya pekat.  Akhir sekali sebelum tutup api masukkan bendi dan tomato.  Siap. 



Asam pedas untuk dia.... awak nak?



HAKMILIK GEE HUT
Designed by UMIESUEstudio 2015